KEJADIAN pelajar ditampar yang tular di media sosial, hari ini.
Ruwaida Md Zain
cnews@nstp.com.my


POLIS menjalankan siasatan membabitkan tiga pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Klang, selepas video mangsa ditampar senior tular di Facebook, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, laporan sudah diterima dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Polis sudah buka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Ia berkisar dari latihan kawad yang berlebihan kerana hendak kawad yang mantap, tetapi tidak diikuti peraturan atau arahan itu.

“Mungkin dia (pelajar senior) bertindak di luar batasan dan polis akan siasat mengikut laporan diterima.

“Apabila selesai siasatan serta bukti mencukupi pelakunya akan didakwa di mahkamah kelak,” katanya.

Dalam video berdurasi 12 saat itu, seorang pelajar ditampar pelajar lain sambil disaksikan seorang rakannya ketika mereka mengadakan latihan kawad di SMK Rantau Panjang.

Mazlan berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor di antara Asisten Komisioner Nor Azman Muhammad Yusuf dengan Asisten Komisioner Harjinder Kaur Gurdial Singh di Auditorium Menara 1, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Harjinder Kaur yang sudah berkhidmat selama 41 tahun itu sebelum ini memegang jawatan Penolong Pengarah Siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA) JSJK Bukit Aman.

Sementara itu, Nor Azman dilantik sebagai Penolong Pengarah (Risikan) JSJK Bukit Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 9:41 PM