X
Ifwan Tun Tuah

Gemas: Walaupun kos mengadakan latihan atau demonstrasi ketenteraan berskala besar bagi mempamerkan keupayaan sistem persenjataan boleh mencecah puluhan juta ringgit, ia tidak pernah dianggap sebagai pembaziran.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, perbelanjaan ketenteraan kebanyakan negara termasuk Malaysia biasanya besar kerana semua aset termasuk teknologi, senjata, peluru, misil dan bom membabitkan kos yang mahal.

“Kita tidak nafikan, orang awam mungkin anggap puluhan juta ringgit yang digunakan bagi menampung kos demonstrasi sebagai mahal, tetapi sebenarnya kita perlu melakukannya kerana itu masa untuk menguji keupayaan dan keberkesanan senjata yang kita miliki.

“Jadi kalau tidak mengadakan demonstrasi pun, kita tetap akan gunakan peruntukan besar untuk latihan dan ujian persenjataan.

“Apabila buat dalam skala besar, kita ambil kesempatan untuk pamerkan keupayaan persenjataan itu kepada pegawai, anggota dan pihak yang berkepentingan sebagai pendedahan kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2018 di Lapang Sasar Gemas, Kem Syed Sirajuddin di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Zulkiple berkata, aktiviti tahunan Tentera Darat (TD) itu yang sebelum ini dikenali sebagai Demonstrasi Kuasa Tembakan (DKT) membabitkan kos RM17 juta pada tahun ini berbanding RM23 juta, tahun lalu.

AKSI Latihan Kuasa Tembakan 2018 di Lapang Sasar Gemas, semalam.
AKSI Latihan Kuasa Tembakan 2018 di Lapang Sasar Gemas, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 10:33 AM