SAADIAH diami rumah papan usang bersama 13 ahli keluarga.
Hazira Ahmad Zaidi
cnews@nstp.com.my

Kota Bahru: “Alhamdulillah, selepas kisah kami tular, ramai pihak yang tampil membantu meringankan beban. Terima kasih...hanya Allah saja yang dapat membalasnya,” kata Saadiah Samat.

Sebelum ini, akhbar ini pernah melaporkan mengenai kisah kedaifan hidup Saadiah, 63, yang mendiami rumah papan usang dan tinggal bersama 13 ahli keluarga termasuk menantu serta cucunya.

Rumah papan yang didiami mereka sekeluarga berusia lebih 30 tahun banyak yang rosak membabitkan bahagian dapur, bilik dan ruang tamu, selain bumbung yang bocor serta papan lantai reput.

Saadiah berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan membantu membina kediaman yang lebih selesa untuk mereka sekeluarga.

“Jika sebelum ini, kami tidur berhimpit kerana rumah ini hanya mempunyai satu bilik dan apabila hujan, tidur malam kami sering terganggu kerana bumbung rumah bocor.

“Selain itu, ada juga beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang saya tidak kenal tampil menyampaikan sumbangan daripada segi kewangan dan barang keperluan,” katanya ketika ditemui selepas majlis Mesra Aidilfitri Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu di sini, semalam.

Terdahulu, Saadiah menerima barang keperluan, wang tunai dan hamper yang disampaikan isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Zubaidah Abdul Hamid.

Saadiah berkata, dia bersyukur atas kesudian dan keprihatinan pelbagai pihak yang menghulurkan bantuan, sekali gus meringankan beban mereka sekeluarga.

“Sumbangan yang diterima sebelum ini, bukan saja meringankan beban menyediakan perbelanjaan harian, tetapi ia juga menggembirakan hati kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 11:15 AM