Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@nstp.com.my


KERAJAAN akan berhubung dengan Peguam Negara jika ada permintaan rasmi dari India berhubung isu permintaan penghantaran pulang penceramah bebas dari India, Dr Zakir Naik.

Bagaimanapun, kerajaan India mesti membuat permintaan dahulu, kata Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

Katanya, isu Zakir Naik dibangkitkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar dan juga beliau sendiri dalam mesyuarat Kabinet, Rabu lalu.

"Kami membangkitkan perkara itu dalam Kabinet. Kami membincangkannya dan merumuskan bahawa kami akan berhubung dengan Peguam Negara jika ada permintaan rasmi dari India.

"Biar kerajaan India membuat perintah penghantaran pulang yang perlu dan kami akan mengikut kedaulatan undang-undang. Namun secara dasarnya, kerajaan India mesti membuat permintaan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak akan menghantar pulang Zakir ke India selagi beliau tidak membuat sebarang masalah.

Katanya, Zakir tidak akan dihantar pulang kerana sudah diberikan taraf penduduk tetap di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 12:18 PM