Raja Noraina Raja Rahim


PADAH memberi suapan RM30 kepada anggota polis, pengawal keselamatan wanita dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.

Hukuman terbabit dikenakan Hakim Fathiyah Idris selepas tertuduh, Nor Leann Nadia Abdullah, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi suapan RM30 kepada Konstabel Syamsul Ikhwani Borhan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang selepas didapati gagal mematuhi lampu isyarat dan menunggang motosikal dengan lesen tamat tempoh.

Perbuatan berkenaan dilakukan di hadapan kedai menjual kenderaan terpakai di Jalan Besar Lukut, Port Dickson, 7.20 malam pada 22 Januari lalu.

NOR Leann Nadia Abdullah, 29, dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban di sini, hari ini, oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan memberi suapan RM30 kepada anggota polis pada Januari lalu dan tertuduh dihukum penjara sehari serta denda RM1,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu. FOTO Adzlan Sidek

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang menangis selepas membuat pengakuan itu bagaimanapun merayu dikenakan hukuman paling ringan kerana dia adalah ibu tunggal yang terpaksa menjaga seorang anak dan ibunya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurdiyanah Mohd Nawawi dan Pegawai Pendakwa SPRM, Karmila Mokhtar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 2:43 PM