NOR Azmi (kiri) menunjukkan gambar pisau digunakan suspek yang menyerang anggota polis di Jalan Panchang Bedena, Sungai Besar, hari ini. Gambar kecil, pisau digunakan suspek. FOTO ihsan polis.
Amirul Aiman Hamsuddin


LELAKI ditembak selepas dipercayai cuba menyerang anggota polis di Jalan Panchang Bedena, Sungai Besar, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 2.45 pagi itu, kelibat suspek berusia 37 tahun yang memang dicari polis kerana kesalahan membabitkan kes ugutan jenayah, disedari di sekitar kawasan berkenaan.

Maklumat itu kemudian disalurkan kepada sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam yang membuat rondaan cegah jenayah sebelum mereka bergegas ke lokasi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, suspek yang menyedari kehadiran anggota polis kemudiannya melarikan diri.

“Anggota polis mengejar suspek sejauh 500 meter sehingga ke tempat timbang kelapa sawit sebelum suspek mengeluarkan pisau sepanjang 25 sentimeter untuk menyerang polis.

“Anggota polis melepaskan dua das tembakan ke udara sebagai amaran.

“Namun tindakan agresif suspek yang dilihat terus menyerang menyebabkan anggota terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah suspek sebagai tindakan mempertahankan diri,” katanya pada sidang media di Sabak Bernam, hari ini.

Nor Azmi berkata, tembakan itu mengakibatkan suspek cedera di paha kanan sebelum diberkas polis.

Beliau berkata, suspek dikehendaki polis atas kesalahan kes ugutan jenayah selain mempunyai lima rekod kes lampau iaitu tiga rekod kesalahan jenayah dan dua rekod dadah.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini (Jumaat) dan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

“Jika sabit kesalahan, dia boleh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

“Suspek dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 5:30 PM