ANTARA topi keledar yang dirampas. FOTO Ihsan KPDNHEP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


SEBANYAK 86 topi keledar tidak mempunyai piawaian SIRIM dirampas pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), dekat Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam operasi jam 3 petang itu, pihak KPDNHEP menyerbu sebuah premis di Jalan Genting Klang, Setapak, susulan risikan.

Siasatan mendapati premis itu menjual pelbagai model topi keledar yang diimport dari luar negara.

Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan topi keledar dijual tidak mendapat kelulusan dan pengesahan SIRIM.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Low Swee Hon berkata, rampasan semua topi keledar itu membabitkan nilai keseluruhan RM17,200.

Menurutnya, semua topi keledar dirampas berikutan gagal mematuhi standard keselamatan ditetapkan SIRIM.

“Premis ini turut membekalkan atau menawarkan topi keledar yang tidak mempunyai tanda seperti mana dalam Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Topi Keledar Motorsikal) 2012 dan menjadi kesalahan mengikut Seksyen 29(2)(d) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 10:00 PM