REMAJA perempuan berusia 15 tahun antara 19 individu ditahan selepas didapati positif dadah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor dalam serbuan di sebuah premis karaoke di USJ19, Subang Jaya, awal pagi hari ini.

Operasi bersepadu disertai 15 pegawai AADK Selangor dengan kerjasama 38 penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) itu membongkar ‘lubuk lalok’ itu apabila individu terbabit berhibur di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine dan methylenedioxy-methamphetamine (MDMA).

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Selangor, Mohd Firdaus Abu Bakar, berkata individu ditangkap berusia antara 15 hingga 25 tahun itu terdiri daripada 17 lelaki dan dua perempuan.

Katanya, kumpulan itu termasuk tujuh individu berumur bawah 18 tahun disahkan positif pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine dan MDMA.

“Kami memulakan operasi pada 12 tengah malam dan dua pusat hiburan diserbu iaitu di USJ19, Subang Jaya dan Bandar Sunway.

“Di USJ19, kami menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 23 individu dan 19 daripadanya didapati positif dadah termasuk MDMA.

“Ada di antara mereka yang bawah umur 18 tahun, masih bersekolah dan menetap di kawasan berdekatan (Subang Jaya dan USJ).

“Pusat hiburan di Bandar Sunway pula, ujian sama dijalankan terhadap 10 individu dan dua daripadanya positif dadah jenis ganja,” katanya pada sidang media operasi bersepadu itu di USJ19, Subang Jaya, awal pagi hari ini.

Turun hadir, Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali.


REMAJA perempuan berusia 15 tahun antara individu ditahan ketika serbuan AADK Selangor bersama MPSJ di sebuah premis karaoke haram di Subang Jaya, awal pagi hari ini. Gambar kecil, dadah yang ditemui dalam serbuan itu. FOTO Rosdan Wahid.

Mohd Firdaus berkata, semua individu itu akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Beliau berkata, untuk tindakan lanjut, pihaknya akan dapatkan reman daripada pihak mahkamah.

“Kita akan memohon perintah supaya mereka menjalankan proses pemulihan bersama AADK sama ada dalam institusi atau bersama komuniti,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zulkurnain berkata premis karaoke di USJ19 tidak mempunyai lesen untuk beroperasi sebagai pusat hiburan.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai hak untuk mengambil tindakan ke atas premis itu mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan Selangor 1995 (pindaan 2001) iaitu mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen daripada MPSJ.

“Kami turut merampas beberapa alat dan set karaoke sebagai bahan bukti siasatan.

“Mengikut rekod MPSJ, lesen premis itu ditarik berikutan aktiviti perjudian berleluasa di premis itu, ia secara jelas melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.

“Premis itu menjalankan operasi secara haram, malah penguat kuasa kita mendapati terdapat beberapa laluan rahsia masuk dan keluar, selain pelanggan tertentu sahaja dibenarkan masuk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 9:50 AM