PROJEK ternakan semula kupang di Jeti Kuala Sebatu.
Nur Saliawati Salberi

Jasin: Projek ternakan semula kupang di Kuala Sebatu di sini, yang dimajukan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka bukan saja akan mengembalikan zaman kegemilangan Kupang Sebatu, malah membantu menambah pendapatan nelayan.

Akibat daripada bencana banjir besar kira-kira sedekad lalu ternakan kupang di kawasan berkenaan dikatakan terpaksa dihentikan.

Bagaimanapun, bagi tidak menghampakan penggemarnya, Kupang Sebatu masih boleh didapati apabila ada nelayan dan individu mencari kupang liar, tetapi bekalan yang diperoleh tidak banyak serta tidak dapat menampung permintaan.

Pengarah LKIM Melaka Rosli Mustapa berkata, projek ternakan hidupan laut itu usahakan oleh Persatuan Nelayan Kawasan Jasin menggunakan kaedah panggar.

Beliau berkata, tali sepanjang kira-kira 150 meter digantung pada setiap panggar dengan setiap satunya diletakkan benih kupang dan dibiarkan membesar.

“Pembenihan pertama dilakukan pada September tahun lalu dan Mac lalu pula adalah tuaian pertama dilakukan dengan hasil diperoleh kira-kira 10 tan.

“Setiap tali mampu menghasilkan sebanyak 30 kilogram kupang yang sudah matang. Kebiasaannya kupang mengambil tempoh selama kira-kira enam bulan untuk matang dan boleh dituai hasilnya,” katanya.

ROSLI (dua dari kiri) bersama Rapingeai (kiri) hadir di tapak projek penternak dan usahawan akuakultur LKIM ternakan kupang di Jeti Kuala Sebatu, Sungai Rambai.

Rosli berkata, bagi memastikan kupang di kawasan berkenaan terhindar daripada sebarang pencemaran, sampel kupang akan diambil dan dihantar ke makmal oleh Jabatan Perikanan negeri.

Pengerusi Persatuan Nelayan Sebatu Rapingeai Mohamad, 55, berkata, kali terakhir ternakan kupang diadakan di kawasan itu adalah pada 2007 dan walaupun proses ternakannya dilihat mudah, namun ia berisiko jika tersalah langkah.

Katanya, ternakan kupang di Sebatu tidak dilakukan di kawasan muara, sebaliknya di laut pada jarak yang jauh daripada sebarang pencemaran ataupun tumpahan minyak kerana ia mengganggu pembesaran habitat berkenaan.

“Selain ombak kuat yang akan mengakibatkan kupang gugur daripada tali, lokasi ternakan juga perlu betul.

“Jika dibandingkan kupang kawasan lain dengan Sebatu, cengkerang kupang di sini akan kelihatan kesan teritip. Dengan adanya ternakan ini, ia sekali gus memberikan nelayan pendapatan sampingan.

“Dulu harga setiap sekilogram amat murah, tetapi kini harga pasaran antara RM8 hingga RM12,” katanya.

BAHARUDIN membersihkan kupang di Jeti Kuala Sebatu, Sungai Rambai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 9:52 AM