LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai kejadian tembakan di Taman Maluri, Cheras, malam tadi. m
Fazrik Kamarudin


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menemui 26 kelongsong peluru kaliber 5.56mm di sebuah pusat hiburan di kawasan Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur dalam kes melepaskan tembakan pada 9.30 malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata hasil siasatan awal di tempat kejadian turut menemui 18 helaian kertas bersaiz A4 yang memaparkan gambar dua lelaki.

“Jarak kertas berkenaan ditemui lebih kurang 22 meter dari tempat suspek melepaskan tembakan dan polis giat menjalankan siasatan dan semakan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan berkenaan.

“Siasatan dijalankan secara terperinci sama ada kes tembakan ini mempunyai kaitan dengan satu lagi kejadian tembak di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur sebelum ini.

“Tiada mangsa yang tercedera dalam kejadian ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mazlan turut mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi Asisten Superintendan Mutazlim Hamdan di nombor 03-9205 0222 / 019-784 2754, Inspektor Mohamad Syafiq Mohamad Rusdin di nombor 03-9205 0222 / 018-240 4072 atau menghubungi Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di nombor 03-2146 0584/585.

Berita berkaitan

''Ingatkan bunyi mercun... ' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 3:12 PM