Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my


BAPA direman tujuh hari bermula hari ini kerana didakwa mencabul anak perempuannya di rumah mereka di Alor Gajah, Selasa lalu.

Lelaki berusia 37 tahun itu dipercayai mengambil kesempatan ke atas anak perempuannya berusia lapan tahun yang dikategorikan sebagai kanak-kanak lembam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, berdasarkan laporan polis dibuat ibu mangsa, suspek melakukan perbuatan terbabit di rumah mereka pada waktu malam.

“Kejadian disedari guru sekolah mangsa yang kemudian memberitahu ibu mangsa, 30-an ketika wanita terbabit mengambil anaknya di sekolah.

“Guru terbabit memberitahu mangsa dicabul bapanya dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa dan cuba melakukan hubungan seks,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek melakukan kejadian itu pada 10 Julai lalu dan ibu mangsa membuat laporan polis semalam sebelum suspek yang juga buruh kasar ditahan di rumahnya dan direman hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Hurman Hussain di Mahkamah Ayer Keroh hari ini.

Mohd Nor Yhazid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14A Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 4:57 PM
SUSPEK dibawa polis dari lokap IPD Alor Gajah untuk mendapat perintah reman. FOTO Khairunisah Lokman