QANTAZ serta pasport dan sijil miliknya.
MOHD Badrizam (tengah) bersama isteri dan anak serta kucing mereka.
Suraya Roslan


Ampang: Kucing yang dibelanya antara tercantik dan terhebat di Malaysia apabila memenangi 30 pertandingan yang diadili Persekutuan Kucing Antarabangsa (Fife) hingga diiktiraf dengan gelaran tertinggi iaitu Supreme Champion.

Kucing baka Maine Coon dibawa dari Ukraine itu dinamakan sempena nama tuan asalnya sebagai Qantaz Slav sebelum tuan barunya dari Malaysia menukar nama kepada Celio memenangi pertandingan Maine Coon terbaik sebanyak empat kali.

Baru berusia dua tahun tetapi kehadirannya ‘digeruni’ dan menarik perhatian ramai dengan panjang lebih satu meter dan berat tujuh kilogram cukup membuat orang ramai geram dengan kehadiran Qantaz.

Pemiliknya, Mohd Badrizam Omar, 40, berkata, kucing dibeli dengan harga RM6,000 daripada seorang ejen dari Ukraine dua tahun lalu daripada pembiak baka, Olena Suslova nyata membawa beberapa tuah buatnya kerana menjadi antara kucing termahal dengan gelaran Supreme Champion (SC) iaitu gelaran tertinggi diberikan oleh Fife.

“Kebiasaannya pemilik kucing yang kerap memasuki pertandingan akan mengetahui jika kucing pernah memenangi SC, ia ibarat kucing paling ‘hebat’ dan ‘mahal’ kerana ia adalah gelaran paling tinggi.

“Qantaz mempunyai sijil kelahiran yang mempunyai salasilah keluarga asalnya daripada datuk hingga ke moyang atau dikenali ‘pedigree’. Pedigree ini tertera tarikh kelahiran, jenis kucing, pola warna, nama breeder termasuk juga pencapaian yang pernah diraih,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Pegawai bank itu berkata, dia mempunyai 13 kucing baka Maine Coon dan empat darinya diambil di luar negara antaranya Ukraine, Russia dan Indonesia menerusi ejen khas.

“Saya suka membela kucing sejak kecil, di samping menjadikan ia sebagai pendapatan sampingan, ini juga sebagai terapi menghilangkan tekanan kerja.

“Kadang-kadang saya akan balik rumah dan berbual-bual dengan 13 kucing ini bagaikan anak dengan bapa meluahkan perasaan, ini adalah terapi terbaik buat saya,” katanya.

Bapa tiga anak ini berkata, pada mulanya dia terpaksa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan Qantaz dan beberapa yang lain berikutan mereka datang dari luar negara.

“Kadang-kadang saya dan isteri, Farrahida Mohamed, 39, tergelak juga, dengan anak-anak tidak pula kami bertutur dalam Inggeris tetapi dengan anak bulus siap berbahasa Inggeris, jika tidak mereka tidak faham.

“Kami mengambil masa empat bulan untuk mengajar anak bulus memahami arahan dalam bahasa Melayu, semua pengalaman ini amat menyeronokkan untuk diingati,” katanya.

Katanya, setiap tiga bulan sekali dia akan menghabiskan RM1,200 untuk membeli makanan dan pasir manakala penjagaan diri (grooming) akan dilakukan sendiri.

“Kami seronok dengan kehadiran mereka, pasti ada saja telatah yang mencuit hati kami sekeluarga terutama Qantaz yang selalu bertindak seperti ketua,” katanya.

Menurutnya, setiap kali mahu bercuti dalam tempoh lama mereka sekeluarga akan mengupah adik menjaga anak bulus dan tidak akan sesekali meletakkan di pusat penjagaan.

“Saya sangat menjaga kesihatan mereka dan pernah sekali meninggalkan mereka di pusat penjagaan, saya terkejut mendapati mereka kurus dan itu kali pertama dan terakhir saya menghantar mereka,” katanya.

Menurutnya, ramai pihak menawarkan untuk membeli Qantaz dengan harga RM15,000 namun dia sangat menyayangi dan tidak sanggup menjualnya.

“Ramai yang bertanya mengenai Qantaz, namun saya terlampau sayangkan dia dan merasai sesuatu kelainan dengan Qantaz, dia mampu menenangkan saya di kala tertekan,” katanya.

Menurutnya, dia mengucapkan terima kasih kepada Kelab Kucing Malaysia yang banyak membantunya dan memaklumkan pertandingan yang perlu disertai.

“Kami sesama ahli sangat rapat antara satu sama lain dan orang ramai yang mahu mengikuti perkembangan Qantaz boleh mengikuti Instagram dan Facebook kami iaitu Qantaz Dream Cattery,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 9:20 AM