FATEH Iskandar (tengah) dan Jeffrey (dua dari kanan) pada sidang akhbar REHDA, semalam.
Ooi Tee Ching


Petaling Jaya: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mengenal pasti sembilan punca pemaju sukar menyediakan rumah mampu milik di negara ini.

Berdasarkan laporan ‘Kediaman Mampu Milik’, perpecahan antara sektor awam dan swasta, dasar perumahan yang ketat, lokasi tidak strategik, kekurangan kawasan tanah lapang, kadar caj tinggi berdasarkan subsidi silang dan peningkatan kos bahan binaan antara punca pemaju sukar memacu pembangunan rumah mampu milik.

Pengerusi Institut REHDA, Datuk Jeffrey Ng berkata, terdapat pelbagai definisi berhubung mampu milik dan pendapatan isi rumah berbeza di setiap negeri membawa maksud berbeza.

“Kekurangan koordinasi antara sektor awam dan swasta dalam menyediakan rumah mampu milik menyebabkan isu ini berlarutan sehingga kini,” katanya pada sidang media, semalam.

Hadir sama, Penaung REHDA Datuk Ng Seing Liong, Presidennya Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Timbalan Presidennya Datuk Soam Heng Choon.

Memetik laporan terbabit, Jeffrey berkata, terdapat pelbagai agensi dalam kerajaan dan swasta yang bertanggungjawab menyediakan projek perumahan mampu milik.

“Ini menyebabkan berlakunya masalah koordinasi yang mengakibatkan kemerosotan permintaan rumah, sekali gus menjadi punca puluhan ribu unit rumah gagal dijual.

“Setiap kelulusan projek perumahan di pelbagai lokasi juga dikenakan kuota termasuk kawasan tidak mempunyai permintaan tinggi dan kekurangan ekosistem yang sesuai mendorong isu ini berlarutan,” katanya.

Mengulas lanjut, Jeffrey mencadangkan Special Purpose Central Agency (SPCA) ditubuhkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menggalakkan pembabitan pemaju hartanah awam dan swasta menyediakan perancangan pembangunan rumah mampu milik yang lebih holistik.

Katanya, SPCA wajar menyelaraskan penggubalan dasar berdasarkan pendapatan isi rumah dan demografi di negeri serta kawasan masing-masing.

“Sebagai contoh, kuota Bumiputera yang gagal dijual tidak dipasarkan ke pasaran terbuka menyebabkan pemaju terpaksa menanggung kerugian membabitkan keseluruhan pembangunan hartanah terbabit.

“Sehingga Mac lalu, sebanyak 23,599 rumah tidak terjual dan sebahagiannya rumah yang dikhaskan di bawah kuota Bumiputera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 9:21 AM