KEADAAN motosikal dinaiki mangsa.
Izlaily Nurul Ain Hussein


GURU lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh lori dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 22 Jalan Johor Bahru-Pontian, Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa Muhamad Shaaban Roslan, 24, dipercayai guru Sekolah Kebangsaan Bandar Uda 2 (SKBU2) dalam perjalanan ke Johor Bahru.

Selain lori dan motosikal mangsa, kemalangan membabitkan dua kenderaan lain iaitu sebuah kereta dan sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori yang datang dari arah Johor Bahru menghala ke Pontian ingin mengelak kereta lain yang berhenti di lorong kiri kerana terbabit kemalangan.

Katanya, ketika mengelak kereta berkenaan, lori itu terbabas sehingga memasuki laluan bertentangan dan secara kebetulan, mangsa tiba di lokasi.

“Kedua-dua kenderaan itu tidak sempat mengelak menyebabkan lori berkenaan merempuh motosikal ditunggang mangsa dan turut melanggar sebuah kereta yang ketika itu dari arah Pontian menghala ke Johor Bahru.

“Akibat rempuhan itu, mangsa terseret ke bawah lori dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang lagi penunggang motosikal berusia 42 tahun terjatuh di laluan tengah dan sudah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk rawatan lanjut kerana parah,” katanya kepada NSTP.

Mohd Taib berkata, ketika polis tiba di tempat kejadian, pemandu lori berusia 58 tahun itu sudah melarikan diri, namun berjaya diberkas beberapa jam kemudian.

“Pemandu lori berjaya diberkas selepas polis menerima maklumat dan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan pula dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Taman Daya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai untuk bedah siasat dan disahkan meninggal dunia akibat polytrauma.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 6:41 PM