Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI bukan hanya memukul isterinya, tetapi turut meninggalkannya di bawah jambatan Kuala Ibai, Kuala Terengganu akibat tidak berpuas hati kerana mangsa mahu bekerja walaupun dilarang.

Kejadian dipercayai berlaku jam 9.30 pagi kelmarin ketika mangsa, 38, yang berada di rumah mereka di sebuah flet di Kuala Ibai mahu keluar bekerja.

Sumber berkata, suspek, 40-an, dikatakan menghalang mangsa keluar bekerja kerana mahu menggunakan kereta wanita terbabit sehingga berlaku pertengkaran mulut.

Katanya, suspek bertindak agresif dengan merampas kunci kereta di tangan mangsa sebelum masuk ke dalam kereta yang digunakan isterinya untuk berulang alik ke tempat kerja.

“Mangsa yang tidak mahu mengalah turut masuk ke dalam kereta sama dengan niat mahu menghalang suaminya menggunakan kereta, namun tindakan itu mengundang kemarahan suspek menyebabkan dia ditampar beberapa kali.

“Suspek kemudian meninggalkan mangsa di bawah jambatan Kuala Ibai sebelum beredar dengan memandu kereta milik mangsa.

“Mangsa kemudian menghubungi adik iparnya bagi meminta bantuan sebelum dihantar pulang ke rumah,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang tiba di rumah terkejut melihat kelibat suspek sebelum menghubungi polis kerana bimbang keselamatan dirinya.

Katanya, sebaik polis beredar, suspek sekali lagi naik hantu apabila bertindak menampar mangsa selepas berlaku pertengkaran antara pasangan berkenaan.

“Mangsa mendakwa suspek sebelum ini sering memukulnya apabila berlaku perselisihan faham walaupun hanya disebabkan perkara kecil.

“Selain itu, mangsa mendakwa pernah beberapa kali membuat laporan polis kerana tindakan suaminya termasuk pernah patah ibu jari kaki dan lebam di seluruh badan selepas dipukul dalam kejadian terbaru awal bulan ini.

“Tidak tahan dengan sikap suspek selain bimbang keselamatan diri, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 8:34 PM