ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Izlaily Nurul Ain Hussein


LELAKI maut apabila kereta dipandunya merempuh sebuah bas dalam kemalangan di Kilometer 30 Jalan Johor Bahru-Pontian di Johor Bahru, hari ini.

Kemalangan berlaku jam 4 petang itu membabitkan sebuah bas dan Perodua Axia menyebabkan pemandu kereta, Wu Chan Kiong, 51, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Kangkar Pulai menghala ke Pontian masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta itu kemudian bertembung dengan bas yang bergerak dari arah Pontian.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta tersepit di tempat duduk sebelum dikeluarkan anggota bomba.

“Mangsa patah kedua-dua kaki serta cedera di muka, dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, seorang kanak-kanak perempuan yang berada di tempat duduk belakang kereta itu turut parah lalu dibawa ke hospital untuk rawatan susulan.


KANAK-KANAK perempuan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital. FOTO Ihsan JBPM

“Pemandu bas berusia 35 tahun tidak cedera, manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 9:30 PM