ANTARA pengawal keselamatan yang ditahan dalam Operasi Cegah.
Nurul Hidayah Bahaudin

Semenyih: Menagih dadah untuk menghilangkan mengantuk ketika bekerja syif malam atau awal pagi dijadikan alasan 10 pengawal keselamatan ketika ditahan dalam serbuan di sebuah rumah sewa di bandar ini, Jumaat lalu.

Alasan berkenaan diberikan ‘jaga lalok’ warga tempatan itu kepada anggota penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat yang menahan mereka dalam Operasi Cegah.

Ketua Pegawai AADK Hulu Langat Muhamad Ramlan Syed Ahamed berkata, rumah sewa pengawal keselamatan berusia 36 hingga 59 tahun itu diserbu anggotanya pada jam 11 pagi.

“Semua yang ditahan bekerja sebagai pengawal keselamatan termasuk di institusi pengajian tinggi swasta dan pusat komersial berhampiran.

“Ketika ditanya mengapa mereka mengambil dadah, pengawal keselamatan terbabit memberi alasan yang dadah boleh menghilangkan rasa mengantuk terutama ketika bertugas syif malam dan awal pagi.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua mereka positif heroin,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Muhamad Ramlan berkata, pihaknya melakukan serbuan di beberapa lokasi di sekitar Semenyih, Kajang, Bangi dan Batu 9 dalam operasi itu.

“Seramai 19 individu berusia 27dan 59 tahun diperiksa dalam operasi ini dan semua mereka didapati positif pelbagai jenis dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 10:13 AM