PENGUNJUNG melihat pelan laluan LRT3 ketika Pameran Transformasi Pengangkutan Awam Darat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Gambar fail 17 Oktober 2016.
Siti Nur Mas Erah Amran

Kuala Lumpur: Penjimatan kos akhir projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) berjumlah RM16.63 bilion iaitu 47 peratus lebih rendah berbanding kos asal RM31.65 bilion, tidak akan menjejaskan kualiti perkhidmatan LRT apabila ia siap sepenuhnya.

Kementerian Pengangkutan pada kenyataan semalam berkata, ada kebimbangan disuarakan orang ramai berhubung sama ada penjimatan RM15.02 bilion daripada kos projek itu akan menjejaskan kualiti perkhidmatan disediakan.

Soalnya, adakah kerajaan ‘amat keterlaluan’ dalam melaksanakan program pengurangan kos hingga mengorbankan kesejahteraan dan keperluan rakyat serta matlamat jangka panjang untuk memperkasa pengangkutan awam di Greater Kuala Lumpur?

“Jawapannya tentu sekali tidak kerana projek LRT3 tidak sepatutnya menelan kos lebih daripada RM10 bilion.

“Projek ini diluluskan secara rasmi oleh Kabinet pada Ogos 2015 di bawah pentadbiran Perdana Menteri terdahulu, Datuk Seri Najib Razak dengan anggaran kos RM10 bilion.

“RM9 bilion daripadanya diperuntukkan untuk Kontrak Pakej Kerja (WPC) dan RM1 bilion dikhususkan untuk pengambilan tanah, namun anggaran kedua-dua kos meningkat kepada RM15.68 bilion dan RM2 bilion pada Mac lalu,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan Prasarana yang membuat perubahan sangat besar terhadap spesifikasi LRT3 yang jauh lebih tinggi daripada keperluan menjadi punca peningkatan kos yang sangat luar biasa.

Katanya, percubaan secara sengaja untuk mengubah reka bentuk secara berlebih-lebihan dan meningkatkan perbelanjaan yang tidak perlu menyebabkan kerajaan menjalankan semak semula secara menyeluruh terhadap spesifikasi LRT3 dan proses rasionalisasi kos komprehensif dalam tempoh dua bulan lalu.

“Selain itu, pilihan untuk membeli lebih banyak kenderaan rel ringan (LRV) mengakibatkan pembesaran stesen LRT.

“Dalam skim LRT3 yang dikemukakan oleh Prasarana kepada SPAD untuk kelulusan pengawalseliaan pada 2014, LRV yang dicadangkan adalah kereta api empat kereta dan platform stesen dengan kepanjangan 82 meter,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 10:27 AM