Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS Johor menahan lima lelaki dalam dua serbuan berasingan selepas mereka disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan Kempas, Johor Bahru.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Lukas Aket berkata, dalam kedua-dua serbuan yang dilakukan antara 2 petang hingga 7 malam kelmarin, pihaknya merampas dadah jenis heroin, ganja dan syabu dengan anggaran nilai RM126,000.

Beliau berkata, semua suspek yang berusia antara 22 hingga 42 tahun itu ditahan di luar kawasan rumah.

“Kita berjaya merampas 7.19 kilogram dadah heroin, 56 gram ganja dan 400 gram syabu.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap kelima-lima mereka mendapati seorang positif dadah MOP manakala yang lain negatif,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Menurut Lukas, dalam serbuan itu juga, pihaknya menyita masing-masing sebuah Perodua Myvi, Volkswagen Polo dan Honda CRZ serta motosikal Yamaha LC dengan 11 telefon bimbit dan wang tunai RM2,800.

Katanya, semua barangan sitaan bernilai kira-kira RM91,000.

Lukas berkata, tiga daripada lima suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah dan mereka ditahan reman tujuh hari sehingga Jumaat ini.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 4:02 PM
DADAH, wang tunai dan barang milik suspek yang dirampas. FOTO Zain Ahmed