LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai peraih getah berusia 41 tahun yang mengahwini budak berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya.
Nor Fazlina Abdul Rahim


PERAIH getah yang berkahwin dengan budak perempuan berusia 11 tahun pada akhir bulan lalu, mendedahkan niatnya untuk berkahwin dengan isteri ketiganya itu ketika dia masih berusia tujuh tahun lagi.

Bapa kepada empat cahaya mata itu, berkata niatnya itu turut disuarakan kepada kawannya selain menunjukkan gambar budak itu ketika berada di tanah suci Makkah dan kebanyakan mereka bersetuju memandangkan isterinya tidak sekolah, selain berasal daripada keluarga miskin.

Beliau mengakui tidak pasti apa yang membuatkannya mahu berkahwin dengan budak seusia dengan anaknya itu, namun mendakwa ia bukan kerana nafsu, sebaliknya sikap mahu melindungi budak berkenaan selain menjaga kebajikannya.

“Ketika berita perkahwinan kami tersebar, hanya orang luar yang terkejut dengan berita berkenaan kerana kebanyakan penduduk kampung serta rakan saya sudah mengetahui perkara itu sejak sekian lama.

“Saya kenal dia sejak dia kecil lagi kerana tinggal berjiran, malah saya mengajar al-Quran kepada anak serta dia juga.

“Ketika itu, saya kata pada diri ‘satu hari nanti saya akan ambil budak ini sebagai isteri’ dan akhirnya saya mengotakan perkara itu empat tahun kemudian.

“Percayalah....ajal, maut dan jodoh daripada Allah...cacilah, kejilah saya, namun saya sedikit pun tidak rasa putus asa atau takut untuk meneruskan perkahwinan ini kerana tanggungjawab baru saya selain mendidik dia supaya semakin mendekatkan diri kepada Allah," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, sejak mula berkahwin, dia sudah berjanji tidak akan ‘menyentuh’ isterinya sehinggalah dia berusia 16 tahun dan janji itu akan dipegang sehingga tiba waktunya.

“Jika saya berkahwin hanya kerana nafsu, sudah tentu kami tinggal bersama dan tidak perlu menunggu sehingga lima tahun.

“Namun, selepas berkahwin saya berasa lega kerana boleh membimbingnya mendekati Allah selain menjaga kebajikannya tanpa dosa.

“Saya sedar ramai yang mengecam dan marahkan saya, namun mereka orang luar yang tidak kenal saya mahupun keluarganya,” katanya.

Peraih getah itu turut berharap supaya ketiga-tiga isterinya dapat hidup secara harmoni dan berkasih sayang, walaupun kini isteri ketiganya itu belum berjumpa dengan isterinya yang lain bagi menjaga emosi isteri pertama dan keduanya.

“Saya berjanji akan mengemudi rumah tangga kami dengan baik.

“Hentilah kutuk kami, sebaliknya sama-sama berdoa untuk kebahagiaan kami sekeluarga,” katanya.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Peraih getah mahu segera daftar perkahwinan'

'[UPDATE] Suami pengantin cilik didenda'

'Pengantin cilik tak didakwa'

'Thailand siasat kes kahwin budak 11 tahun'

'Maduku budak 11 tahun'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 5:16 PM