JEMAAH haji Malaysia yang melakukan ziarah luar di Bukit Uhud diberi taklimat oleh pembimbing ibadat
Tuan Asri Tuan Hussein


OBJEKTIF utama setiap bakal haji yang berada di Madinah pastinya menziarah makam Rasulullah, beribadat di dalam Raudhah di Masjid Nabawi serta melawat perkuburan Baqi' dan Bukit Uhud, namun bukan semua berkeupayaan melakukannya kerana berdepan dengan masalah kesihatan.

Menyedari hakikat itu, Unit Bimbingan dan Ziarah Tabung Haji (TH) ada pendekatan tersendiri untuk memastikan jemaah haji terbabit termasuk kategori orang kurang upaya (OKU) turut tidak terlepas peluang berbuat demikian.

Pengurus Ibadat Madinah, Zamri Ramli berkata, pendekatan dilakukan pihaknya ialah mengasingkan jemaah terbabit daripada program ziarah jemaah lain dan memberi perhatian serta layanan khusus kepada mereka.

Menurutnya, seawal penerbangan pertama jemaah Malaysia ke sini iaitu pada Sabtu lalu, anggota unit itu sudah mengenal pasti beberapa jemaah yang perlu diberi perhatian istimewa.

"Ada tiga jenis ziarah yang diatur oleh anggota Unit Bimbingan dan Ziarah iaitu ziarah dalam, ziarah luar dan ziarah silaturahim," katanya dalam pertemuan dengan wartawan Malaysia di pejabat pengurusan Zon Satu TH di Hotel Al-Haram, Madinah.

Zamri berkata, ziarah dalam merujuk kepada lawatan dan melakukan ibadat sunat di dalam Masjid Nabawi dan sekitarnya iaitu mengunjungi makam Rasulullah, beribadat di Raudhah serta melawat perkuburan Baqi'.

Ziarah luar pula membabitkan aktiviti melawat Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Bukit Uhud dan makam syuhada perang Uhud, Masjid Tujuh dan ladang kurma.

Namun, ziarah silaturahim sama sekali tidak membaitkan jemaah, sebaliknya hanyayang dilakukan oleh petugas Unit Bimbingan dan Ziarah bertujuan mengenal pasti dan membantu jemaah haji yang bermasalah.

"Kami membuat lawatan ke bilik penginapan jemaah uzur dan sakit yang sudah dikenal pasti dan ia turut disertai kaunselor kerana ada juga jemaah yang mengalami masalah emosi dan memerlukan kaunseling.

"Jemaah yang ada masalah kesihatan ini tak dapat keluar dari bilik dan pastinya mereka tidak mampu mengikuti jemaah lain melakukan ziarah dalam dan luar.

"Jadi, apa yang akan kami lakukan ialah asingkan mereka, kami akan cari satu waktu tertentu untuk pastikan mereka juga berkesempatan melakukan ziarah dalam dan luar," katanya.

JEMAAH haji Malaysia yang melakukan ziarah luar di Bukit Uhud diberi taklimat oleh pembimbing ibadat

Zamri juga menasihatkan jemaah haji agar memanfaatkan khidmat disediakan Unit Bimbingan dan Ziarah jika mereka ada kemusykilan, kekeliruan atau kurang faham mengenai apa saja ibadah.

"Pembimbing Ibadat Haji yang bertugas di Madinah dan Makkah terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti guru, pensyarah dan penceramah bebas yang amat berpengalaman," katanya.

Selain itu, katanya, TH juga memiliki pakar rujuk yang terdiri daripada ahli jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Justeru, ilmu dan kepakaran mereka perlu dimanfaatkan oleh jemaah haji supaya setiap amalan serta ibadat ddapat dilakukan dengan sempurna dalam usaha mendapat haji mabrur.

Zamri berkata, pihaknya menyediakan 12 pembimbing ibadat TH sepenuh masa selain melantik 40 hingga 60 mutawif sambilan yang terdiri daripada penuntut Malaysia di Universiti Madinah bagi membantu melaksanakan ziarah luar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 2:20 PM