Norasikin Daineh


PENGARAH Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) antara empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan salah laku berhubung penyelenggaraan kapal.

Pengarah terbabit bersama tiga pengarah syarikat kontraktor berusia antara 40 hingga 50-an ditahan di pejabat SPRM dan kediaman mereka sekitar Kota Kinabalu, semalam.

Menurut sumber, penahanan empat individu itu bagi membantu siasatan jika wujud unsur rasuah atau sebaliknya berhubung penyelenggaraan kapal yang berlabuh di Sabah sepanjang 2016 hingga tahun ini.

Justeru, penggeledahan bagi mencari dokumen berkaitan turut dilakukan di kediaman suspek, namun difahamkan nilai wang yang terbabit berkaitan kes masih dalam siasatan.

Kesemua mereka kini direman antara dua hingga empat hari bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Cindy Mc Juce Balitus di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

Prosiding bagi mendapatkan perintah tahanan reman itu dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Faliq Basiruddin.

Pengarah JPDS dan dua pengarah syarikat kontraktor yang tidak diwakili peguam direman empat hari bermula hari ini, manakala seorang lagi individu iaitu pengarah syarikat kontraktor yang diwakili peguam, Edward Paul, direman dua hari.

Semua individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana memberi sogokan kepada penjawat awam yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 4:53 PM
PEGAWAI SPRM membawa tiga daripada empat individu yang ditahan untuk mendapatkan reman di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini. FOTO/VIDEO Khairull Azry Bidin