FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SEORANG ibu terkejut apabila mendapati anaknya yang mengalami obesiti meninggal dunia di ruang tamu rumahnya di Taman Pinggiran Senawang di Seremban, semalam.

Dalam kejadian 10.40 pagi itu, Ahmad Syafiq Fathi Saidi Azhar, 24, dijumpai tidak sedarkan diri oleh ibunya yang berusia 49 tahun sebaik pulang daripada menghantar beberapa anaknya ke sekolah di kawasan berdekatan.

Sumber polis berkata, ketika wanita itu keluar menghantar anak ke sekolah, Ahmad Syafiq yang juga anak sulung daripada enam beradik itu berada di ruang tamu.

“Apabila wanita itu balik, dia mendapati anaknya tidak sedarkan diri. Wanita itu bertindak mengejutkannya beberapa kali, namun dia sudah tidak bernafas.

“Wanita terbabit memaklumkan kepada jiran sebelum mereka menghubungi Balai Polis Senawang.

“Berdasarkan siasatan, lelaki itu menghidap obesiti dan kerap berdepan masalah pernafasan. Pada minggu lalu, arwah mendapatkan bantuan pernafasan di Hospital Putrajaya,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, seorang lelaki berusia 59 tahun ditemui mati oleh jiran di hadapan rumah di Taman Seremban Baru, Seremban, 7 pagi semalam.

Katanya, jiran memaklumkan kejadian kepada kakak lelaki itu berusia 69 tahun sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati kematian lelaki itu tidak berkaitan sebarang unsur jenayah. Dia yang tinggal seorang diri kerana belum berkahwin itu turut difahamkan sering mabuk," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk tindakan lanjut.

Katanya, kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 5:10 PM