MAZLAN (kanan) beramah mesra bersama pegawai dan anggota pada Perhimpunan Bulanan di IPK Selangor, Shah Alam, hari ini. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat.


POLIS Selangor menerima laporan kerugian berjumlah RM16 juta membabitkan 329 kes sindiket Penipuan Macau (Macau Scam), sejak Januari hingga Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, ia mencatatkan peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding kerugian bagi jenayah sama sepanjang tempoh sama tahun lalu iaitu RM6.6 juta dengan 268 kes sahaja.

Beliau berkata, kerugian itu sebahagian besar disumbangkan Macau Scam menggunakan modus operandi menyamar sebagai anggota atau pegawai polis iaitu membabitkan sejumlah RM12 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding RM2 juta bagi tempoh sama, tahun lalu.

“Kami turut menerima laporan membabitkan sembilan kes individu menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bagi Macau Scam membabitkan kad kredit pula, kami merekodkan kerugian RM3.9 juta sepanjang tempoh sama, berbanding RM4.5 juta pada enam bulan pertama tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, hari ini.

Mazlan berkata, kebanyakan individu menyamar sebagai anggota atau pegawai polis mendakwa mereka dari IPK Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, individu terbabit mendakwa mangsa terbabit dengan kes dadah, pengubahan wang haram atau kes langgar lari sebelum meminta mangsa memasukkan sejumlah wang.

“Satu lagi modus operandi adalah memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai bank serta mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit.

“Suspek selalunya akan membuat panggilan menggunakan talian sistem telefon Suara Melalui Protokol Internet (VoIP),” katanya.

Beliau berkata, walaupun pihak polis sudah berkali-kali menasihati orang awam, masih terdapat segelintir masyarakat terpedaya dengan penipuan seperti ini.

Katanya, trend peningkatan ini dilihat membimbangkan dan polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dan terpedaya sekiranya menerima panggilan kecemasan daripada individu tidak kenali.

“Kami nasihatkan supaya mereka tidak takut. Terus ke balai polis untuk membuat laporan apabila mendapat panggilan seperti ini.

“Jangan terlampau khuatir dengan panggilan ini sehingga boleh mengeluarkan duit dan memasukkannya ke dalam akaun tertentu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 6:30 PM