FOTO hiasan.
Suhaila Shahrul Annuar


RESTORAN terkenal dengan hidangan nasi kandar di Presint 15, Putrajaya diarah tutup 14 hari selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan kotor.

Notis perintah tutup bermula hari ini hingga 30 Julai dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Periksa Premis Makanan di Putrajaya yang dilaksanakan Perbadanan Putrajaya (PPj) sekitar pusat komersial, [email protected], Presint 15.

Operasi diketuai Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail itu membabitkan 30 kakitangan daripada Bahagian Kesihatan Persekitaran, Bahagian Penguatkuasa, Bahagian Komersial, Pembangunan Perniagaan dan Pelesenan, Bahagian Alam Sekita, Tasik dan Wetland, Bahagian Seni Bina dan Inspektorat Bangunan serta Jabatan Undang-Undang.

Hasim berkata, mengikut Penetapan Gred Premis Makanan, restoran berkenaan mendapat gred C iaitu keadaan premis tidak bersih dan penyediaan makanan tidak selamat.

“Menerusi pemeriksaan, kami dapati terdapat lipas dan lalat yang banyak di dapur selain stor barangan tidak disusun dengan teratur.

“Selain itu, mereka tidak dapat mengemukakan bukti bahawa pengendali makanan di restoran itu sudah mendapatkan suntikan vaksin (pelalian anti-tifoid) melalui pengamal perubatan berdaftar.

“Restoran itu baru beroperasi tiga bulan dan sudah beberapa kali diberi teguran. Kami tidak ambil tindakan tutup terus, tetapi kami gunakan proses dengan memberi teguran termasuk kompaun. Apabila teguran sudah diberi tetapi masih lagi tiada pembaharuan, kami terpaksa keluarkan notis perintah tutup.

“Peluang untuk penambahbaikan itu ada. Kalau ada pembaikan dan pembersihan, mereka perlu maklumkan kepada PPj, kami akan datang periksa dan jika menepati kriteria ditetapkan, mereka boleh beroperasi seperti biasa,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi berkenaan.

Hasim berkata, dalam operasi berkenaan, enam premis di pusat komersial [email protected] diperiksa mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Putrajaya) 2012 dan Akta Makanan 1983 dengan enam kompaun dan lapan notis dikeluarkan.

Beliau berkata, sehingga Jun lalu, sebanyak 350 premis makanan dilesenkan di Putrajaya dan dalam tempoh sama PPj mengeluarkan 58 kompaun, 23 notis amaran dan arahan penutupan ke atas lapan premis.

“PPj sentiasa mengalu-alukan idea baharu daripada pengusaha untuk membuka restoran makanan mempunyai pelbagai pilihan dan citarasa, cuma kami harap mereka dapat kekalkan gred kebersihan terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, berhubung penguatkuasaan sijil halal terhadap premis makanan di Putrajaya, beliau berkata, ia belum dilaksanakan sepenuhnya dan masih di peringkat memberi penerangan kepada peniaga.

“Kami belum betul-betul kuatkuasakan lagi dan penerangan diberikan kepada pengusaha restoran dari semasa ke semasa.

“Pada 26 Jun lalu, PPj sudah mengadakan taklimat dengan pengusaha restoran di Putrajaya dan minggu depan, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kami akan cuba kumpulkan dan bantu membimbing kira-kira 200 peniaga untuk membuat permohonan sijil halal secara atas talian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 7:07 PM