DATUK Ilias Husain. FOTO Arkib NSTP
DATUK Ilias Husain. FOTO Arkib NSTP
Nor Amalina Alias


BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat Datuk Ilias Husain meninggal dunia akibat kanser prostat, hari ini.

Allahyarham berusia 67 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.30 petang di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu.

Ilias yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok dimasukkan ke HUSM pada malam Aidilfitri pertama selepas mengalami kencing berdarah, sebelum disahkan menghidap kanser prostat.

Adiknya Danial, 58, berkata Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Ayuni Sougioyo, 40, dan empat anak berusia antara sembilan hingga 19 tahun.

Katanya, sebelum ini arwah tidak menghidap sebarang penyakit sehinggalah mengalami kencing berdarah pada Aidilfitri, baru-baru ini.

“Sejak dimasukkan ke hospital, kesihatan abang saya semakin lemah sehingga menghembuskan nafas terakhir petang tadi.

“Allahyarham seorang yang disenangi kerana sikapnya yang peramah dan murah hati. Kami sekeluarga kehilangan seorang abang yang sangat baik,” katanya ketika dihubungi.

Allahyarham pernah menjadi ADUN Jelawat pada 2004, namun tewas kepada calon PAS di kerusi Pantai Irama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), baru-baru ini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kamoung Tok Jawa, jam 10 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 8:17 PM