Keadaan Perodua Myvi yang remuk dalam kelamalangan membabitkan ermpat kenderaan malam tadi di Kilometer 132.4 LPT1. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


DUA maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 132.4 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Kuala Lumpur, di Temerloh, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, mangsa Low Kim Boon, 65, dan Nur Rashila Rosdan, 22, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan akibat tercampak daripada kenderaan masing-masing.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kenderaan Perodua Myvi dipandu Nur Rashila di lorong kanan dari arah Kuantan menuju ke Temerloh melanggar sebuah lori membawa muatan plastik di lorong sebelah kiri.

Katanya, kereta Perodua Myvi itu kemudian dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota FJ Cruiser yang dipandu Low dari arah belakang mengakibatkan kenderaan SUV itu tercampak ke laluan bertentangan sebelum jatuh ke dalam gaung.

“Kenderaan berkenaan kemudian turut dilanggar Proton Iswara yang datang dari arah Kuantan.

“Berdasarkan siasatan dan keterangan saksi kita percaya punca kemalangan adalah disebabkan Nur Rashila yang juga bekerja sebagai pelukis pelan memandu dalam keadaan mengantuk sebelum melanggar bahagian belakang lori,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu lori Che Sharif Saad, 43, dan pemandu Proton Iswara Sheikh Mohd Haniff Sheikh Hashim, 61, tidak mengalami kecederaan.

Difahamkan siasatan di lokasi kemalangan turut menemui pistol Smith & Wesson compact, pump gun bersama dua butir peluru di dalam, 23 peluru jenis Rimba 12 Bore warna biru, 35 peluru Mega 12 Bore warna hijau, peluru Buck Shot 12 Bore, dua kotak peluru 9mm Br.c S&B mengandungi 88 peluru.

Bagaimanapun hingga kini pemilik senjata api berkenaan masih belum dikenal pasti.

Sementara itu, Kamarulzaman berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati tempat kemalangan tidak mempunyai lampu jalan serta keadaan jalan raya kering.

Katanya, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 9:40 AM