WARGA asing ditahan Jabatan Imigresen Kedah selepas cuba melarikan diri dengan bersembunyi di kawasan belukar berhampiran tapak pembinaan di Sungai Ular, Kulim dalam Ops Bersama, semalam. FOTO Ihsan JIM Kedah
Nordiana Shafiee
cnews@nstp.com.my


LELAKI warga Pakistan yang menyalahguna pas permit kerja dengan menjual permaidani dan cadar menaiki basikal, ditahan Jabatan Imigresen Kedah di Kilometer 24, Jalan Kuala Ketil-Sungai Petani, Alor Setar, semalam

Lelaki berusia 29 tahun itu sepatutnya bekerja dalam sektor perikanan, namun menyalahgunakan pas permit kerja diberikan menyebabkan dia antara 11 warga asing yang ditahan dalam Op Mega 3.0 dan Op Bersama bermula 11.30 pagi sehingga 6 petang.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, dalam dua operasi berasingan yang disertai 15 anggota, seramai 11 warga asing pelbagai warga negara berusia antara 25 hingga 48 tahun diberkas di tiga lokasi berasingan.

Menurutnya, di lokasi pertama membabitkan tapak pembinaan di Sungai Ular, Kulim, seramai lapan warga asing dan dua warga tempatan diperiksa sebelum menahan tujuh daripadanya disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, mereka yang ditahan itu terdiri tiga lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Myanmar dan dua lelaki warga Indonesia.

"Ketika serbuan ini, dua lelaki warga Myanmar terbabit bertindak melarikan diri dengan bersembunyi di kawasan belukar berhampiran tetapi berjaya ditahan kerana anggota penguat kuasa sudah membuat kepungan di sekeliling tapak pembinaan.

"Kemudian, kami menahan dua lelaki warga India dan seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja di restoran nasi kandar di Taman Pelangi, Kulim, diikuti penahanan seorang lelaki warga Pakistan di Jalan Kuala Ketil-Sungai Petani," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, pemeriksaan lanjut ke atas semua warga asing itu mendapati tiga daripadanya melakukan kesalahan tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah, dua lagi menetap lebih masa dalam negara dan enam orang melanggar syarat pas diberikan.

Menurutnya, mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Katanya, semua warga asing berkenaan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 11:26 AM