Siti Rohana Idris


PENGSAN ketika diakad nikah enam tahun lalu kerana telalu teruja, menjadi kenangan terindah buat pasangan warga emas dari Rumah Seri Kenangan (RSK), Kemumin, Kota Bharu.

Bertemu jodoh di pusat perlindungan itu, Idris Laboh, 77, dan Rohani Lee Abdullah, 59, dilihat gembira dan mesra ketika meluangkan masa bersama memberi makan haiwan ternakan mereka di RSK.

Usik mengusik antara mereka termasuk mengenang kembali peristiwa Idris pengsan ketika akad nikah, menceriakan pasangan itu.

Idris yang mesra disapa sebagai Pok Yeh berkata, keputusannya menikahi Rohani enam tahun lalu, tepat kerana kini wanita itu dapat menjaga dan mengurus dengan baik.

"Walaupun usia sudah lanjut, Alhamdulillah saya tiada sebarang penyakit cuma sedikit uzur yang menyebabkan terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.

"Nasib saya baik kerana isteri sentiasa di samping dan menjaga saya dengan baik dan menjadi peneman setiap masa," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mereka berkenalan di rumah perlindungan itu sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada Julai 2012.

Dengan tiga kali lafaz, Rohani sah sebagai isterinya dan majlis perkahwinan mereka diadakan secara besar-besaran dengan diarak menaiki beca sambil diiringi paluan kompang.

Pok Yeh yang berkahwin bagi kali kelima berkata, segala aktiviti harian mereka dilakukan bersama termasuk membela ayam dan itik bagi menghilangkan rasa bosan.

Sebanyak 30 ayam dan 20 itik dipeliharanya sejak empat tahun lalu di hadapan rumahnya yang disediakan oleh pihak RSK yang selain untuk mengisi masa lapang, dapat memberikan pendapatan sampingan kepada mereka hasil jualan telur.

Sementara itu bagi Rohani, dia menganggap bukan satu beban kepadanya menjaga suami yang uzur malah ia adalah tanggungjawabnya sebagai isteri.

"Walaupun kami kerap bergaduh disebabkan suami sedikit garang, tapi saya tetap sayangkannya dan saya anggap itu hanyalah gaduh-gaduh sayang.

"Saya akan menjaga suami hingga akhir hayat kerana kami sama-sama sebatang kara dan biarlah kasih sayang ini berterusan hingga hujung nyawa," katanya yang menetap di RSK lebih 30 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 2:05 PM
PASANGAN warga emas, Idris Laboh, 77 dan Rohani Lee Abdullah, 59, yang memberi makan haiwan peliharaan mereka kelihatan ceria selepas mendirikan rumah tangga sejak enam tahun lalu di Rumah Seri Kenangan (RSK), Kemumin. FOTO Syamsi Suhaimi