GAMBAR fail menunjukkan orang ramai berurusan di kaunter PTPTN. FOTO Arkib NSTP
Oleh Nadia Hamid


PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini memohon Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum yang tidak tamat pengajian mengeluarkan wang simpanan itu untuk pembayaran pinjaman pendidikan.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, ia bagi membantu peminjam menyelesaikan tanggungjawab mereka membayar hutang menggunakan wang simpanan mereka walaupun tidak menamatkan pengajian.

“PTPTN menyokong penuh desakan rakyat untuk selesaikan hutang PTPTN menggunakan dana KWSP.

“Saya akan mengangkat pandangan ini kepada Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) dalam jangka masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk kepada cadangan paling kerap diutarakan peminjam iaitu membenarkan semua kategori peminjam pendidikan mengeluarkan dana KWSP bagi tujuan bayaran balik, termasuk peminjam yang tidak berjaya menamatkan pengajian mereka.

Wan Saiful berkata, ramai peminjam menyatakan kekecewaan susulan tidak boleh mengeluarkan wang simpanan sendiri di KWSP untuk menyelesaikan hutang mereka.

“Walaupun saya memahami kekecewaan peminjam, saya memohon maaf kepada peminjam kerana cadangan ini di luar bidang kuasa saya.

“Ketika ini, kemudahan pengeluaran dana KWSP untuk membuat pembayaran pinjaman pendidikan termasuk pinjaman PTPTN adalah di luar bidang kuasa PTPTN.

“Urusan pengeluaran dana KWSP adalah sepenuhnya di bawah kuasa KWSP sendiri. Hanya pengeluaran pendidikan untuk mereka yang tamat pengajian saja dibenarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 6:40 PM