RUMAH Api Pulau Sialu yang dibina pada 1894.
Mohamad Fahd Rahmat

Batu Pahat: Pihak berkuasa perlu serius memulihara tinggalan sejarah di Pulau Sialu Minyak Beku, dekat sini, berikutan terdapat permohonan bagi membangunkan kawasan bersejarah itu sebagai tapak pertanian awal tahun ini.

Pengkaji sejarah Mohd Azlan Mohd Sharif berkata, Pulau Sialu terkenal dengan binaan Rumah Api yang dibina pada 1894 dan masih gah tersergam hingga hari ini dan apa-apa tindakan yang boleh mengancam kewujudannya perlu dihalang.

Menurutnya, pihaknya juga mencalonkan Rumah Api Pulau Sialu 1894, Balai Polis Minyak Beku 1893 dan Tapak Arkeologi Bawah Air Perairan Minyak Beku pada Mac lalu sebagai sebagai tapak warisan dan sejarah negara selaras Akta Warisan Kebangsaan 2005.

“Pulau Sialu mempunyai rumah api sejak 1894 dan binaan batu pada 1913. Pulau ini pernah didiami suku Duanu atau lebih dikenali sebagai Orang Kuala.

“Pada 8 Januari lalu, terdapat permohonan untuk tapak pertanian seluas 0.875 hektar di Pulau Sialu dan sepatutnya ini tidak diluluskan atau dipertimbangkan memandangkan umum tahu Pulau Sialu adalah tempat bersejarah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 10:12 AM