WAN Saiful Wan Jan
Fahmy Azril Rosli
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Sepuluh manifesto utama Pakatan Harapan (PH) memerlukan masa lama untuk dilaksanakan berikutan kerajaan terdahulu menafikan hak pembangkang ketika itu memperoleh maklumat.

Ia termasuk satu daripada manifesto PH berkaitan penangguhan pembayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hingga gaji peminjam mencecah RM4,000 sebulan.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata, isu sebenar yang berlaku adalah apabila PH memerlukan data menghasilkan manifesto, kerajaan ketika itu tidak bekerjasama.

Beliau berkata, data yang diminta dikatakan tidak wujud dalam sistem maklumat PTPTN sekarang terutama merangkumi data berkenaan berapa gaji yang diperoleh peminjam.

“Jadi, macam mana kita mahu buat keputusan sama ada orang ini boleh dibebaskan daripada pembayaran atau pun orang ini tidak boleh. Jadi, data itu diperlukan dahulu.

“Mungkin beliau (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) lupa ketika Ahli Parlimen Rembau itu dalam kerajaan apa yang diamalkan UMNO, BN dengan menafikan hak pembangkang (ketika itu) mendapatkan maklumat.

“Sebaliknya, (apabila PH jadi kerajaan) kami melakukan proses sewajarnya dengan minta peminjam bagi data kepada kami melalui laman web PTPTN dan kami akan proses permohonan selepas itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Khairy yang menuduh manifesto PH dibuat tanpa berfikir mendalam sebelum janji itu dibuat.

Mengulas lanjut kenyataan Khairy, Wan Saiful menegaskan, jika perangai BN ketika bergelar kerajaan tidak menafikan hak pembangkang mendapatkan maklumat betul, mungkin PH boleh merealisasikan manifesto dengan lancar.

Wan Saiful adalah Timbalan Pengarah Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan juga penulis manifesto PH.

“Bagaimana Khairy boleh jangka kita boleh tulis (manifesto) berlandaskan data sedangkan kerajaan tidak bagi data (yang diminta).

“Tetapi UMNO tidak buat macam itu. Sekarang mahu kata kami menulis tanpa fikir. Bukan tanpa fikir, sebenarnya tanpa data yang mereka tidak bagi sebab itu sikap mereka dulu. Salah mereka, salah UMNO sendiri.

“Kalau UMNO betul-betul nak kita buat manifesto dengan maklumat yang tepat, bagilah maklumat (yang diminta) itu?” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 10:50 AM