Dr Mahathir semasa menjawab soalan pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mohd Anwar Patho Rohman

TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan komited merealisasikan 60 janji dan 42 iltizam yang terkandung di dalam Buku Harapan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga komited merealisasikan semua 10 janji dalam tempoh 100 hari apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Bagaimanapun, beliau mengakui semua 10 janji itu tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh dijanjikan berikutan terdapat beberapa perkara yang perlu diutamakan.

“Harus diingat, tumpuan kerajaan bukan hanya kepada 10 janji sahaja. Dalam 100 hari kerajaan ada banyak kerja perlu dilaksanakan.

“Yang diutamakan ialah tindakan membersih kerajaan daripada kerosakan hasil daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa yang melanda jentera kerajaan terdahulu.

“Tindakan undang-undang terhadap jenayah yang dikesan dalam kerajaan, usaha mengesan dan mendapatkan balik wang yang hilang, menyusun semula jabatan dan lain-lain,” katanya ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Fong meminta Perdana Menteri menyatakan apakah janji kerajaan PH 100 hari selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan apa yang telah, sedang dan belum ditunaikan serta sebab kelewatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 11:55 AM