SUASANA di dalam kedai di ladang kurma milik Abdul Majed.
Tuan Asri Tuan Hussein

KETIBAAN penerbangan KT1 yang membawa kumpulan pertama bakal haji dari Malaysia ke sini pada Sabtu lalu, juga menandakan musim rezeki sudah tiba kepada peniaga di bandar ini.

Sejak pasukan media Tabung Haji (TH) tiba, seminggu lebih awal iaitu pada 7 Julai lalu, peniaga yang kami temui berulang kali bertanya bila bakal haji Malaysia akan tiba, seolah-olah tidak sabar menunggu.

Puncanya, kuasa beli yang dimiliki bakal haji kita cukup besar biarpun kuantiti kita tidak seberapa berbanding jemaah negara lain. Contohnya, jemaah dari India dan Pakistan, yang jumlah mereka ramai tapi kuasa membeli kecil.

Atas sebab itu jugalah, ramai peniaga di sini mampu berbahasa Melayu, ada yang cuma sepatah dua untuk sekadar membuka bicara, namun ada juga yang fasih dan lancar dangan sapaan paling popular 'Malaysia Boleh', 'apa khabar' dan 'mari masuk.'

Difahamkan, secara purata seorang jemaah Malaysia berbelanja antara RM3,000 hingga RM10,000 seorang dan angka itu hanya di bandar ini, tidak termasuk Makkah.

Pemilik ladang kurma Abdul Majed yang premisnya menjadi lokasi wajib dikunjungi berkata, jemaah Malaysia memang menjadi 'kegemaran' peniaga di Madinah.

"Bukan sekadar ada kuasa beli yang besar tapi jemaah Malaysia juga ramah dan mesra. Kalau tawar menawar pun tidak keterlaluan, berbanding jemaah dari beberapa negara lain," katanya.

Dia hanya tersenyum dan menggeleng-gelangkan kepala apabila ditanya berapa kos seorang jemaah haji Malaysia berbelnja di premisnya, namun difahamkan secara purata jumlahnya tidak kurang RM200.

Majed ditemui ketika hampir 800 jemaah Malaysia yang menaiki 20 bas 'menyerbu' premisnya untuk membeli kurma dan pelbagai barangan lain sebagai 'ole-ole' dari Madinah.


PETUGAS PosLaju di hotel Al-Haram, Madinah sibuk menguruskan penghantaran barangan jemaah haji Malaysia.

Seorang petugas PosLaju Malaysia di Madinah pula memberitahu, pihaknya mula membuka kaunter untuk jemaah Malaysia menghantar barang ke tanah air sejak Isnin lalu dan dalam masa dua hari saja mereka sudah melakukan 500 penghantaran.

Kos penghantaran antara setiap jemaah tidak seragam, ada yang cuma kira-kira RM100 dan ada juga yang mencecah RM1,000.

Menurutnya, sejak musim haji 2015 hingga 2017 secara purata PosLaju menguruskan barangan seberat 200 tan milik jemaah haji untuk dihantar ke Malaysia selepas membeli belah di Makkah dan Madinah.

Sementara itu, penuntut Universiti Madinah, Mohamad Fathan Adi Tarmizi yang menjadi petugas sambilan TH untuk aktiviti ziarah luar memberitahu, imej suka membeli belah memang sukar dipisahkan dengan jemaah Malaysia.

"Jemaah Malaysia memang popular dalam kelangan peniaga di sini kerana mereka tahu kita ada kuasa beli yang besar, cuma saya selalu peringatkan jemaah agar jangan hilang fokus.

"Kehadiran jemaah di sini untuk beribadat, bukan untuk membeli belah. Lagi, sattu saya juga pesan kalau nak beli kurma, pastikan beli kurma yang ditanam di Madinah, itu yang sebaik-baiknya," katanya.

Sehingga Khamis, lebih 5,000 daripada 9,661 jemaah yang dijadual tiba di Madinah dulu sebelum ke Makkah,sudah tiba di sini. Jumlah keseluruhan jemaah haji dari Malaysia bagi tahun ini ialah 30,200 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 1:18 PM