Hazsyah Abdul Rahman

TERPAKSA berkongsi makan bubur nasi berlaukkan garam atau dua biji telur kerana tiada wang membeli makanan, menggambarkan keperitan hidup ibu tunggal bersama lima anak di Kampung TB Ward, dekat Batu Dua, Sandakan.

Enam beranak itu juga terpaksa tinggal dalam pondok usang yang sempit di kawasan setinggan dan sentiasa basah apabila hujan, selain tiada bekalan elektrik serta air bersih.

Rosinah Hussin, 34, yang berpisah dengan suami selepas ditangkap atas kesalahan dadah sejak setahun lalu berkata, keluarganya terpaksa berdepan kesusahan kerana dia tidak dapat bekerja bagi menjaga anak-anak berumur setahun hingga 15 tahun.

“Sebelum ini, saya tinggal bersama nenek serta datuk dan mereka membantu menjaga anak-anak saya ketika saya masih bekerja di sebuah stesen minyak. Tetapi sekarang mereka sudah meninggal dunia, jadi tiada siapa dapat membantu.

“Selepas kematian mereka, saya terpaksa berhenti kerja kerana risau membiarkan anak-anak, apatah lagi mereka perlu bersekolah. Ketika itu, suami masih ada tetapi dia tidak pedulikan kami.

“Hidup kami bertambah teruk apabila rumah tempat berteduh dirobohkan pihak berkuasa, di lokasi rumah ini juga. Saya tidak tahu hendak tinggal di mana. Adik-beradik lain merantau ke negeri dan daerah lain,” katanya ditemui NSTP di pondok usangnya di Sandakan

Rosinah berkata, dia terpaksa memungut beruti, zink terbuang dan papan lapis lalu meminta pertolongan orang lain membina pondok sebagai tempat berteduh mereka enam beranak, namun basah apabila ditimpa hujan.


KEADAAN dapur Rosinah yang serba kekurangan. FOTO/HAZSHAH ABDUL RAHMAN

Katanya, walaupun bertaraf warganegara, dia tidak pernah mendapat bantuan kebajikan atau Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kerana menyangka rumah berkenaan perlu dibayar secara ansuran setiap bulan.

“Saya takut memohon dan tidak tahu macam mana kerana tiada pendapatan. Saya hanya harap hasil jualan tin dan besi buruk, jadi macam mana mahu bayar deposit, bil air dan elektrik nanti. Duit untuk pergi mengurus permohonan pun tiada,” katanya.

Katanya, anak pertamanya, Mohd Azmil, 15, terpaksa berhenti sekolah dan bekerja sebagai penggali kubur untuk membantunya menyara keluarga, selain menerima kiriman RM50 sebulan daripada kakaknya di Kota Kinabalu dan jiran yang selalu berkongsi makanan.

Ketika ini, hanya dua anaknya masih bersekolah iaitu Dayang Azlianna, 9, dan Dayang Azrina, 8, di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Anib 1, manakala seorang anaknya Dayang Azriani, 6, dipelihara kakaknya.

“Anak bongsu saya, Mohd Alif, baru berumur setahun. Saya sedih dia hanya meminum air susu pekat atau air biasa kerana saya tak mampu beli susu tepung bayi untuknya,” katanya.

Rosinah berkata, walaupun reda dengan kehidupan mereka sekeluarga, dia berharap ada pihak dapat membantu seperti mendapatkan rumah PPRT atau rumah lain berdekatan sekolah anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 2:25 PM
ROSINAH bersama anaknya dan tempat kediaman di Kampung TB Ward, dekat Batu Dua, Sandakan. FOTO/HAZSHAH ABDUL RAHMAN