M Kulasegaran (empat kanan) dan Adun Kepayang, Dr Ko Chung Sen (lima kanan) melawat kaunter JobsMalaysia di Pusat Transformasi Bandar (UTC) selepas melancarkan Kaunter Khidmat Rakyat Kementerian Sumber Manusia di Pasar Besar Ipoh. Foto NSTP/ABDULLAH YUSOF
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PERINTAH pelaksanaan gaji minimum baharu dijangka bakal diwartakan dalam tempoh dua bulan lagi.

Menteri Tenaga Manusia, M Kulasegaran berkata, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sudah menyelesaikan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2016 dan syor itu akan dibentangkan kepada kerajaan dalam masa terdekat.

“Sekiranya tiada sebarang halangan, Perintah Gaji Minimum baharu akan diwartakan dalam masa sebulan dua lagi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (BN-UMNO Beaufort) serta soalan berkaitan daripada Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-UMNO Rembau), Su Keong Siong (PH-DAP Kampar), Nurul Izzah Anwar (PH-PKR Permatang Pauh), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-UMNO Baling), Datuk Hasbullah Osman (BN-UMNO Gerik) dan S Kesavan (PH-PKR Sungai Siput) berkenaan pelaksanaan gaji minimum RM1,500.

Kulasegaran berkata, penetapan kadar gaji minimum yang seragam di seluruh negara akan tetap diteruskan dan ia selaras dengan 10 janji kerajaan dalam masa 100 hari.

Katanya, kadar gaji minimum akan dikaji semula setiap dua tahun dan diharapkan, menjelang akhir penggal pertama pentadbiran kerajaan Pakatan harapan, pelaksanaan dapat dilakukan secara berperingkat sehingga mencapai kadar minimum RM1,500 seperti yang dihasratkan.

“Pelbagai faktor diambil kira ketika membuat semakan Perintah Gaji Minimum, ia termasuk indikator sosio ekonomi seperti perubahan indeks harga pengguna, kadar pertumbuhan produktiviti, keupayaan majikan untuk membayar gaji, kadar pengangguran, pendapatan garis kemiskinan dan sebagainya.

“Selain itu, pandangan semua pihak menerusi pendekatan berhemah dengan mengimbangi kepentingan majikan, pekerja dan kerajaan juga akan diambil kira,” katanya.

Kulasegaran berkata, pelaksanaan gaji minimum kelak tidak akan membezakan kewarganegaraan seseorang pekerja dan pendirian kerajaan terhadap pekerja tempatan mahu pun warga asing adalah berasaskan kepada beberapa perkara.

“Selaras dengan Konvensyen ILO No 100, Equal Remuneration, dasar gaji minimum tidak boleh mendiskriminasikan seseorang pekerja atas alasan kewarganegaraan.

“Selain itu, Seksyen 60L, Akta Kerja 1955, Seksyen 118B, Ordinan Buruh Sabah atau seksyen 119B dan Ordinan Buruh Sarawak juga tidak membenarkan sebarang bentuk diskriminasi antara pekerja tempatan dan pekerja asing,” katanya.

Sementara itu, Kulasegaran berkata, penguatkuasaan Perintah Gaji Minimum baharu untuk semua majikan sektor swasta di negara ini juga akan membabitkan pertambahan kos.

Justeru, kata beliau, pihaknya akan meneliti perkara ini bagi memastikan pelaksanaannya dibuat secara berhemah supaya selari dengan proses pemulihan kedudukan kewangan yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 3:09 PM