Oleh Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan dua waran tangkap dikeluarkan terhadap dua bekas Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dua waran tangkap yang dikeluarkan atas nama Jasmine Loo Ai Swan dan Casey Tang Keng Chee itu disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi hari ini.

“Ya, dua waran itu dikeluarkan terhadap kedua-dua mereka,” katanya ringkas.

Difahamkan, Jasmine Loo dan Casey Tang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.

Kedua-duanya tidak pernah dituduh atas sebarang salah laku, namun tidak dinyatakan waran tangkap dikeluarkan atas kesalahan apa.

Pada Jun lalu, Jasmine Loo dan Casey Tang dipanggil SPRM bagi membantu siasatan terhadap anak syarikat 1MDB, iaitu SRC International Sdn Bhd (SRC).

Turut dipanggil memberi keterangan adalah bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan Eric Tan Kim Loong.

Menerusi laporan sebuah portal berita antarabangsa, sebelum ini, pihak berkuasa Singapura turut meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan Eric Tan sejak 2016 dan juga ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Kedua-duanya terpalit skandal puluhan bilion ringgit yang turut disiasat Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Menurut laporan itu, Jasmine Loo yang melanjutkan pendidikan dalam bidang perundangan di United Kingdom (UK) juga adalah pegawai seranta antara 1MDB dan syarikat kewangan antarabangsa, Goldman Sachs Group Inc.

Jasmine Loo dikatakan membantu mendapatkan bantuan kewangan AS$6.5 bilion (RM26.4 bilion) daripada Goldman Sachs dan sebagai balasan, dia dikatakan menerima AS$5 juta (RM20 juta)

“Casey Tang pula terbabit dalam 1MDB ketika ia syarikat itu lebih dikenali sebagai Badan Kuasa Pelaburan Terengganu (TIA) sehingga tahun 2011, namun tidak dipastikan bila Casey Tang meninggalkan syarikat itu.

“Bank Negara Malaysia (BNM) memanggil kedua-duanya untuk dirakam keterangan sejak 2015, namun mereka tidak pernah datang memberi kenyataan,” lapor portal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 6:10 PM