GAMBAR fail NSTP.
Mohd Roji Kawi


FENOMENA jerebu dikhuatiri melanda Pulau Borneo berikutan cuaca panas terik sejak lebih seminggu lalu.

Memburukkan lagi keadaan, musim panas menyebabkan banyak kebakaran hutan berlaku di Kalimantan Barat, Indonesia.

Statistik laporan harian Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia, sehingga petang semalam sebanyak 194 titik panas dikesan di wilayah Kalimantan Barat.

Daripada jumlah itu, 69 adalah titik panas tahap tertinggi, manakala 47 lagi sederhana dan selebihnya tidak serius.

Berdasarkan pengalaman lalu, kewujudan titik panas akibat kebakaran hutan yang berpunca dari kegiatan pembakaran terbuka di negara jiran itu menjadi penyumbang utama jerebu di negeri ini.

Selain itu, kegiatan pembakaran hutan untuk tujuan pertanian oleh petani tempatan di kawasan pedalaman Sarawak, turut memburukkan lagi keadaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Nor Hisham Mohamad berkata, sejak Ahad lalu hingga 8 pagi ini, sebanyak 112 kes kebakaran belukar, hutan dan kawasan tanah gambut dilaporkan di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, kebakaran tanah gambut paling serius berlaku di Ladang Kelapa Sawit Tabung Haji di Simunjan apabila api merebak di kawasan seluas lebih 10 hektar, manakala kawasan lain membabitkan kawasan kurang dari 1.5 hektar.

"Hari ini kami menghantar satu pasukan untuk tinjau titik panas yang dikesan di kawasan Meludam dalam Bahagian Betong.

"Orang ramai harus menghentikan kegiatan pembakaran terbuka ketika musim panas ini kerana ia akan memberi kesan bukan sahaja kepada penduduk berdekatan yang terdedah kepada pencemaran asap dan jelaga, tetapi juga boleh mengundang keadaan berjerebu," katanya.

Justeru katanya, pemantauan dijalankan di seluruh negeri khususnya di kawasan berisiko seperti di tanah gambut berdekatan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Miri yang mudah terbakar bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk menghalang kebakaran serius.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 11:31 AM