Gambar hiasan.
Nor Akmar Samudin dan Amira Eizan Azman

IBU bapa dan pelajar menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan untuk memakai kasut hitam ke sekolah mulai tahun depan.

Menerusi tinjauan oleh NSTP pagi tadi, orang ramai bersetuju dengan perubahan itu dan mereka percaya anak-anak akan kelihatan lebih kemas.

Seorang ibu kepada empat anak, Yusmina Yusof, 44, berkata, dia mempunyai anak lelaki yang kini berada dalam Tahun Empat dan sangat lasak.

“Dia sangat aktif dan suka melakukan pelbagai aktiviti di sekolah jadi untuk mengekalkan kasut putihnya sentiasa bersih, memang satu cabaran. Kotoran yang melekat pada kasut susah nak hilang. Jadi ia melegakan saya apabila tahun depan semua pelajar akan memakai kasut hitam ke sekolah,” katanya.

Nur Faraha Baharum, seorang ibu dan usahawan dalam talian berkata, walaupun kasut kanvas hitam akan cepat pudar selepas beberapa kali dicuci tetapi keseluruhannya pakaian seragam sekolah kelihatan bersih.

“Walaupun kasut hitam tak mudah nampak kotor tetapi ia mesti dibasuh seminggu sekali untuk kebersihan. Sekarang pun sudah ada kapur untuk kasut hitam,” katanya.

Seorang pekerja swasta, Siti Asiah Ahmad, 46, berkata, memakai kasut hitam boleh menjimatkan kos kerana dia tidak perlu membeli dua pasang kasut untuk lima anaknya yang bersekolah rendah dan menengah.

“Saya tidak perlu lagi membeli kasut putih untuk rutin ke sekolah harian dan kasut hitam untuk aktiviti ko-kurikulum ataupun untuk anak yang jadi pengawas sekolah.

“Mereka boleh memakai satu kasut saja untuk semua aktiviti di sekolah,” katanya.

Bagi pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar, Aina Atikah dan Nurul Atirah, mereka lebih suka kasut hitam kerana mudah dijaga dan tidak perlu menukar kasut untuk pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

“Kami tiada masalah lagi dengan pengawas sekolah atau guru disiplin kerana kasut kotor,” katanya.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian sudah memutuskan untuk membenarkan semua pelajar sekolah rendah dan menengah memakai kasut hitam.

Beliau juga berjanji untuk memastikan pelajar membawa beg ringan ke sekolah dan mengurangkan bilangan tahun sebelum pelajar memulakan pendidikan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 4:01 PM