KHAIRUL Kamarudin. FOTO Arkib NSTP
Nabil Basaruddin


BIMB Holdings Berhad (BHB) mengumumkan perletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Khairul Kamarudin berkuat kuasa serta-merta.

Khairul turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), anak syarikat milik penuh BHB.

Beliau dilantik memegang jawatan berkenaan untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 14 Jun 2017 bagi menggantikan Datuk Seri Zukri Samat.

Khairul menyertai Bank Islam pada 2005 dan memainkan peranan penting menerajui pemulihan aset semasa tahun pemulihan dan transformasi Bank Islam serta memperkenalkan pendekatan jualan agresif di samping menggalakkan budaya prestasi berasaskan risiko.

Pengerusi BHB Tan Sri Ambrin Buang berkata, Lembaga Pengarah dari BHB dan Bank Islam menerima peletakan jawatan beliau dan mengucapkan penghargaan atas sumbangannya kepada institusi dan sektor perbankan Islam.

“Kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dalam bidang yang diceburinya di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 6:49 PM