Meor Riduwan Meor Ahmad


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan kejatuhan harga durian termasuk Musang King tidak akan menjejaskan pendapatan petani dalam jangka panjang.

Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Ishak berkata, penurunan harga durian di seluruh negara ketika ini adalah disebabkan lambakan pengeluarannya berbanding tahun lalu.

“Pada tahun ini begitu banyak buah termasuk durian yang menjadi. Berdasarkan statistik tahun lalu, jumlah pengeluaran durian hanya 60,000 tan metrik, tetapi tahun ini 180,000 tan metrik.

“Alhamdulillah ini disebabkan faktor cuaca baik selain pengeluaran hampir serentak di beberapa negeri seperti Johor, Melaka dan Perak.

“Harganya pula sangat berpatutan, misalnya, sebelum ini durian Musang Kking berharga antara RM80 hingga RM100 sekilogram, mungkin waktu itu bukan musim, pengeluaran tidak banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Makan [email protected] Negara, hari ini.

Turut hadir, Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.


ORANG ramai berbaris untuk memilih buah durian. FOTO Aswadi Alias

Menurut Ahmad, pengeluaran serentak buah durian ketika ini, memberi peluang kepada rakyat menikmati keenakan raja buah itu dan pelbagai buah-buahan tempatan lain.

“Dulu tidak ramai mampu merasai keenakan buah durian. Hari ini purata harga durian Musang King berharga RM30 hingga RM40 sekilogram sahaja manakala durian kampung RM7 sekilogram berbanding RM15 sebelum ini.

“Jadi harga durian di peringkat pengguna, turun hampir 100 peratus. Walaupun harga turun disebabkan kuantiti banyak, namun pendapatan tidak rugi sangat,” katanya.

Menerusi program berlangsung di pekarangan Masjid Negara selama dua hari sehingga esok, FAMA menyasarkan lebih 20,000 pengunjung hadir dengan 24 metrik tan buah durian disediakan iaitu Musang King sebanyak enam metrik tan, durian klon (12 metrik tan) dan durian kampung (enam metrik tan).

Turut disediakan, buah rambutan sebanyak tujuh metrik tan, manggis (tujuh metrik tan) dan cempedak (empat metrik tan).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 10:05 PM
PENGUNJUNG yang hadir menikmati makan durian pada Program Jom Makan Buah di Masjid Negara, Kuala Lu,pur, hari ini, FOTO Aswadi Alias