GAMBAR hiasan
Mohd Sabran Md Sani


LELAKI berusia 44 tahun ditahan ketika menceroboh kawasan Istana Bukit Serene, Johor Bahru, dengan memandu pacuan empat roda, malam semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, suspek ditahan pada jam 11.15 malam selepas memandu masuk Toyota Hilux ke kawasan istana.

“Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 KK dan Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, statistik menunjukkan terdapat sembilan kejadian membabitkan pencerobohan kawasan istana di negeri ini sepanjang tahun lalu hingga semalam.

Berikutan itu katanya, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor memandang berat perkara ini.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menceroboh tempat-tempat diisytiharkan sebagai kawasan larangan.

“Ia termaktub dalam Seksyen 8 akta yang sama di mana tiap-tiap kesalahan mengikut akta ini boleh ditahan dan tidak boleh dijamin,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, mengikut Seksyen 9 akta sama, pihak penguat kuasa boleh menahan sesiapa sahaja jika perlu.

Katanya, peruntukan undang-undang ke atas perbuatan menceroboh kawasan larangan adalah kesalahan berat.

“Pihak penguat kuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau kumpulan yang terbabit dalam kesalahan Akta Kawasan Larangan 1959," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 11:36 PM