SEBAHAGIAN pengujung premis judi ditahan ketika polis menggempur premis berkenaan. FOTO/AZHAR
SEBAHAGIAN pengujung premis judi ditahan ketika polis menggempur premis berkenaan. FOTO/AZHAR
Safeek Afandi Razali dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SINDIKET perjudian dalam talian di negara dipercayai muncul ketika pihak polis sibuk menjalankan tugas mengawasi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Sindiket perjudian dilaporkan mengambil kesempatan membuka semula premis judi secara sedikit demi sedikit sebelum muncul bagai cendawan tumbuh di merata tempat di seluruh negara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kekangan kekuatan pegawai dan anggota polis dalam mengawasi dan memantau aktiviti perjudian sebelum dan selepas PRU-14 menyebabkan sindiket memgambil kesempatan menjalankan aktiviti judi.

“Kita percaya mereka (sindiket judi) mula muncul semasa pihak polis menjalankan pelbagai tugasan dan Operasi Cantas beberapa bulan sebelum PRU-14 sehinggalah pada masa ini.

“Bagaimanapun, pihak kami melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ peringkat kontinjen hinggalah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kerap menjalankan operasi namun tidak dihebahkan kepada media," katanya dalam operasi judi sekitar Serdang, malam tadi.

Beliau berkata, berikutan itu Operasi Dadu kini digerakkan ke seluruh negara secara besar-besaran dalam usaha membenteras sepenuhnya elemen perjudian dalam talian dan simulator.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, mengeluarkan talian hotline untuk orang ramai memaklumkan sebarang aktiviti mesin perjudian di seluruh negara kepada Polis Kontinjen di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 10:09 AM