IKAN baung yang timbul dipermukaan air disebabkan fenomena air panas di Sungai Lepar. FOTO/MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat
cnews@nstp.com.my

CUACA panas membawa rezeki kepada penduduk masyarakat Orang Asli Kampung

Mencepu di Lebuhraya Tun Razak Kuantan-Segamat, dekat Kuantan, apabila berpuluh kilogram pelbagai jenis ikan di Sungai Lepar timbul.

Penduduk setempat menggunakan penyauk untuk menangkap ikan seperti baung, patin, tengalan, lampam sungai dan gohok.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Halim berkata, Sungai Lepar yang cetek terutama ketika surut menyebabkan air menjadi panas setiap kali musim kemarau.

Katanya, penduduk tidak melepaskan peluang menangkap ikan yang timbul di permukaan air hanya dengan menggunakan penyauk, terdapat juga ikan yang hanyut ke tepi sungai selain tersangkut pada batang kayu tumbang.


PENDUDUK setempat menggunakan penyauk untuk menangkap pelbagai jenis ikan seperti baung, patin, tengalan, lampam sungai dan gohok. FOTO/MOHD RAFI MAMAT

Dia berkata, setiap tahun penduduk menunggu fenomena air Sungai Lepar panas bagi mencari pelbagai jenis ikan yang timbul.

“Menjadi seperti pesta apabila penduduk datang beramai-ramai ke Sungai Lepar membawa penyauk bagi menangkap ikan dan aktiviti ini berlaku dalam masa sejam hingga dua jam saja.

“Ikan yang ditangkap hanya untuk kegunaan sendiri selain diagihkan kepada jiran dan keluarga,” katanya di sini, hari ini.

Halim berkata, Sungai Lepar yang bersambung dengan Sungai Pahang sememangnya terkenal dengan pelbagai jenis ikan menyebabkan aktiviti memancing dan menjaring dilakukan penduduk setempat.

Tinjauan NSTP juga mendapati penduduk setempat berpesta menangkap pelbagai jenis ikan yang timbul di permukaan air tetapi hanya ikan bersaiz sederhana dan besar saja ditangkap bagi dijadikan hidangan keluarga.

Keadaan sungai yang banyak lubuk dan pokok tumbang menjadi faktor utama ikan banyak di sungai itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman, berkata fenomena air sungai panas boleh menyebabkan ikan mengalami tekanan dan tidak selesa seterusnya timbul di permukaan air terutama membabitkan sungai cetek.

Beliau berkata, walaupun ikan sungai mempunyai daya tahan yang lebih kuat berbanding ikan diternak dalam sangkar namun dalam keadaan cuaca panas, ia tidak dapat mengelak daripada berlaku kejutan hingga menyebabkan mati dan timbul di permukaan air.

“Pada musim panas kebanyakan ikan sungai akan berkumpul di kawasan lubuk yang paras air lebih dalam selain terdapat tempat berlindung, pencari ikan tertumpu di tempat terbabit.

“Rezeki kaki pancing dan nelayan darat akan bertambah pada musim panas apabila mereka memburu ikan di kawasan lubuk selain sungai cetek,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 1:37 PM