ALLAHYARHAM Muhammad Azhari Zul Azri. Foto Rosli Ilham
ALLAHYARHAM Muhammad Azhari Zul Azri. Foto Rosli Ilham
Rosli Ilham


KEMBAR kepada Muhammad Azhari Zul Azri, 20 bulan, yang maut akibat terjerut tali bidai di rumahnya di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Dungun, petang kelmarin masih belum mengerti erti kehilangan adiknya itu.

Ketika wartawan NSTP berkunjung ke rumah neneknya di Taman Abadi, AMBS, petang hari ini, dia kelihatan riang bermain bersama sepupunya.

Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali, berkata kanak-kanak terbabit mengetahui kejadian menimpa adiknya kerana dia berada di rumah ketika kejadian berlaku.

“Namun dia masih kecil dan belum faham erti kehilangan. Dia kelihatan girang bermain dengan sepupunya.

“Mungkin selepas sehari, dua baru dia akan terasa kehilangan adiknya memandangkan mereka berdua sangat rapat dan akrab,” katanya.

Sementara itu, usaha wartawan NSTP menemu bual ibu bapa mangsa gagal kerana mereka masih sugul dan bersedih dengan kejadian mengejutkan terbabit.

“Saya mewakili keluarga arwah minta maaf kerana ibu, bapa dan nenek arwah masih bersedih serta terkejut dengan kejadian itu dan tidak mahu ditemubual,” kata wanita itu mewakili keluarga berkenaan.

Katanya, Allahyarham Muhammad Azhari dan kembarnya sangat disayangi oleh neneknya kerana kedua-duanya dijaga oleh warga emas itu sejak kecil.

“Nenek serta ibu bapa arwah masih terkejut dengan kejadian itu dan saya harap pihak media memahami dan tidak menemubual mereka yang masih trauma,” katanya.

Muhammad Azhari disedari terjerut tali bidai terbabit oleh ibunya, Noryasmin Mat Yasin, pada jam 6.50 petang.

Sebelum kejadian, kanak-kanak terbabit dikatakan bermain bersendirian di atas sofa berhampiran tingkap rumahnya, manakala ibunya sedang mengerjakan solat Asar.

Sebaik selesai mengerjakan solat, ibunya terkejut mendapati mangsa tidak sedarkan diri lalu menghubungi suaminya, Zul Azri Hashim, 39.

Suaminya bergegas pulang ke rumah dan mendapati isterinya ketika itu sedang memangku mangsa sebelum mengejarkan Muhammad Azhari ke Klinik Kesihatan AMBS untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan sudah meninggal dunia sebaik tiba di klinik berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkata, hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kesan jerutan tali bidai berkenaan.

“Kanak-kanak itu disahkan meninggal jam 7.30 malam (semalam) sebelum jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat,” katanya.

Jenazah kanak-kanak terbabit selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AMBS jam 2 petang hari ini.

Berita berkaitan

Bayi maut terjerut

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 7:42 PM