MUHAMMAD ‘Afeef maut akibat dilanggar lori ais berhampiran rumah neneknya di Kilometer 9, Jalan Sungai Tong-Pelong di Kampung Langkap, Permaisuri, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


MURID Tahun Satu Pendidikan Khas maut akibat dilanggar lori ais di sebuah kedai runcit di Kilometer 9, Jalan Sungai Tong-Pelong di Kampung Langkap, Permaisuri, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi, mangsa Muhammad ‘Afeef Mohd Adnan, 7, yang tidak ke sekolah kerana sakit kaki dipercayai keluar ke kedai berhampiran rumah neneknya.

Bapanya, Mohd Adnan Che Ibrahim, 34, berkata dia menghantar Muhammad ‘Afeef ke rumah neneknya dan menghantar adiknya mengikuti kelas pra sekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Lerek sebelum ke tempat kerja.

“Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada ahli keluarga memaklumkan kejadian menimpanya, dan segera pulang ke rumah neneknya.

“Saya difahamkan anak pergi ke kedai berhampiran rumah neneknya sebanyak dua kali untuk membeli mainan dan aiskrim.

“Ketika kejadian, arwah dikatakan berada di tepi jalan berhampiran lori ais sebelum dirempuh kenderaan itu ketika mahu bergerak selepas selesai menghantar ais di kedai runcit berkenaan tanpa menyedari kehadiran arwah di situ,” katanya.

Ahli farmasi itu berkata, anaknya cedera di bahagian kepala dan disahkan meninggal di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, ketika kejadian, pemandu lori berusia 38 tahun itu ingin memulakan perjalanan selepas selesai menghantar ais di kedai runcit terbabit.

“Namun, pemandu itu rasa ada terlanggar sesuatu dan mendapati seorang kanak-kanak berada di bawah kenderaan apabila turun dari lori.

“Pemandu lori berkenaan kemudian membuat laporan di Balai Polis Setiu dan polis sudah mengambil keterangannya,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 8:01 PM