Zuliaty Zulkiffli


WANITA yang hamil empat bulan sanggup menunggang motosikal seorang diri sejauh kira-kira 10 kilometer dari rumahnya di Kampung Bukit Tegor di Pendang, untuk mendapatkan bekalan dadah, hari ini.

Bagaimanapun, dia akhirnya ditangkap sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pendang di sarang penagihan Tok Mid dalam kebun getah di Kampung Baru Sungai Tiang, Pendang.

Wanita berusia 30 tahun itu ditahan bersama 20 penagih didapati positif dadah jenis heroin serta syabu selepas ujian saringan air kencing diambil terhadap mereka.

Selain itu, wanita yang mempunyai anak berusia 17 tahun itu cuba melepaskan diri menggunakan alasan dadah terbabit dibeli untuk suaminya yang bekerja sebagai pemandu jentolak.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, operasi Ops Tapis Sepadu itu disertai 21 anggota termasuk polis dan AADK Pendang yang bermula jam 6 pagi hingga 1 petang hari ini.

Beliau berkata, seorang daripada yang ditahan itu adalah tokan yang dipercayai membekalkan bahan terlarang itu untuk penagih yang datang ke kawasan itu.

“Berikutan itu, suspek ditahan bersama 6.98 gram heroin dan 1.36 gram syabu yang ada bersamanya untuk tindakan lanjut Malah, siasatan mendapati suspek memiliki empat rekod berkaitan dadah.

“Susulan penahanan itu, 10 suspek dibawa ke IPD Pendang mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala manakala 11 lagi diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983 kerana disyaki penagih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 11:20 PM
SEORANG wanita hamil empat bulan (baju hijau) ditahan polis dan AADK bersama sebahagian penagih di port Tok Mid kebun getah di Kampung Baru Sungai Tiang. Foto STR/ZULIATY ZULKIFFLI