MOHAMAD Rezal menunjukkan sebahagian hasil rampasan selepas empat bot ditahan. FOTO Rosli Ilham
MOHAMAD Rezal menunjukkan sebahagian hasil rampasan selepas empat bot ditahan. FOTO Rosli Ilham


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat bot nelayan asing selepas didapati melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di Zon Ekonomi Pantai Ekslusif (ZEE), dekat Chukai, kelmarin.

Ketua Zon Maritim Kemaman, Leftenan Komander Mohamad Rezal Kamal Bashah berkata, empat bot nelayan Vietnam terbabit ditahan di empat lokasi berbeza sekitar 100 hingga 104 batu nautika dari Pantai Kuala Kemaman.

Beliau berkata, tangkapan pertama bermula 10.40 pagi diikuti tangkapan terakhir pada 1.20 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati semua bot terbabit tidak mempunyai permit untuk menangkap ikan di kawasan perairan negara.

"Semua 41 awak-awak termasuk tekong bot warga Vietnam berusia 19 hingga 57 tahun juga tidak mempunyai sebarang rekod pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 9:04 AM