PASUKAN PPM berjaya merampas antara peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti mengebom ikan di kawasan perairan Kampung Sisipan, Pulau Bum-Bum, di Semporna. FOTO/IHSAN PPM
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan dua individu kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan kawasan perairan Kampung Sisipan, Pulau Bum-Bum, Semporna, semalam.

Juragan lelaki dan anak perahu wanita, masing-masing berumur 50-an ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota PPM Semporna ketika Ops Pensura Khas di kawasan perairan itu, kira-kira 8 pagi.

Komander PPM Wilayah Empat, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abdul Aziz berkata, anggota PPM terserempak dengan perahu dalam keadaan mencurigakan sebelum membuat pemeriksaan.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, kita menemui dua botol kaca berisi baja ammonia, bahan peledak, enam sumbu pelbagai saiz serta tiga kilogram ikan yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya Semporna, hari ini.

Mohd Yazid berkata, kedua-kedua suspek kemudian ditahan dan dibawa ke pangkalan PPM Semporna untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta bahan letupan 1953,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 10:21 AM