TINJAUAN projek pengindahan Sungai Nadi Kehidupan.
HM Digital

Kuala Lumpur: Kerja pembersihan Sungai Nadi Kehidupan (ROL) kini sudah mencapai 86 peratus, sekali gus bakal menepati indeks kualiti air bersih sungai pada Kelas IIB (76 peratus) menjelang Disember 2020.

Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Md Khairi Selamat berkata, ketika ini indeks air Sungai Klang itu 68 peratus dan hanya memerlukan sedikit tambahan nilai bagi mencapai bacaan air bersih iaitu pada 76 peratus.

Katanya, pelbagai usaha dijalankan bagi mencapai sasaran air sungai yang bersih termasuk pelaksanaan Program Jangkauan Awam (ROLPOP) yang memasuki fasa kelima.

“Masalah besar kita adalah sampah, sungguhpun JPS mengambil pelbagai inisiatif untuk membersih serta merawat air sungai terbabit, ia memerlukan komitmen pelbagai pihak.

“Sungai ini adalah imej Kuala Lumpur, justeru kerja pembersihan mencakupi kualiti air dengan sasaran kami untuk mengadakan aktiviti rekreasi masa depan.

“ROLPOP membabitkan komuniti tempatan yang bertujuan mendidik mereka mengenai kejuruteraan dalam pemulihan dan pengindahan sungai,” katanya pada sesi ROLPOP 5 Walk-Learn-Share, di sini, semalam.

Program itu membabitkan lebih 50 peserta terdiri daripada pelajar, orang ramai dan komuniti tempatan.

Bermula dari Pasar Seni, aktiviti ini menyaksikan peserta mempelajari maklumat mengenai ROL termasuk ‘collapsible weir’, sistem interseptor, kolam dan koridor biru.

Kemuncak aktiviti apabila peserta mendapat peluang menguji kualiti air dan menyentuh air sungai yang bersih di koridor biru bagi merasai pengalaman melihat dan menyentuh air terawat.

Projek ROL ini khususnya kolam biru adalah pertembungan Sungai Klang dan Sungai Gombak yang menjadi ikon tarikan pelancong di Kuala Lumpur.

Ia mula dilaksanakan pada 2011, terbahagi kepada tiga fasa iaitu pembersihan, pengindahan dan pengkomersialan sungai serta pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 11:06 AM